Masing disayangi kawan dan lawan
Iklan
JIKA ada satu sikap yang diingati seteru politik kepada James Masing yang meninggal dunia awal hari ini, adalah cara timbalan ketua menteri Sarawak bercakap dengan mereka.
“Saya kenal beliau sebagai politikus yang apabila bercakap dengan kami, memang sangat sopan dan berlemah lembut,” kata Abang Zulkifli Abang Engkeh, pemangku pengerusi PKR Sarawak, dalam ucapan takziah di Facebook.
Abang Zulkifli turut memuat naik sekeping gambar mereka bersama, memakai baju parti masing-masing, yang diberitahu kepada The Malaysian Insight “ditangkap beberapa tahun lepas” di sebuah majlis di Mukah.
Menurut rekod acara, gambar tersebut besar kemungkinan ditangkap ketika Pilihan Raya Kecil DUN Balingian pada 2014.
Sikap sopan tutur kata Masing itu turut diingati oleh Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo.
“Beliau sentiasa mesra, merendah diri, sopan cakapnya dan prihatin orangnya,” kata Soo dalam satu catatan di Facebook.
Soo turut mengimbau kali pertama beliau berjumpa Masing.
Katanya, pertemuan itu berlaku di Kompleks Beli Belah Taman Sri Sarawak di Kuching, tempat terletaknya pejabat parti politik pertama Masing, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Ketika itu, PBDS adalah parti pembangkang.
“Kali pertama saya berjumpa dengannya, dia dan kumpulan kami pergi makan laksa untuk sarapan. Beliau memang sukakan laksa Sarawak.”
Tambah Soo, walaupun mereka berseteru di gelanggang politik sejak itu, sesekali mereka masih berhubungan.
“Ada ketikanya, beliau hantar mesej peribadi kepada saya tanda sokongan, jika beliau merasakan kenyataan akhbar saya yang beliau baca, ada benarnya,” katanya.
Manakala, Wong Soon Koh pula berkata walaupun beliau dan Masing berbeza pendirian dan pandangan politik dan sering bertelagah, beliau akan tetapi merindui pemimpin itu.
“Saya dan isteri sangat bersedih hati mengetahui yang YB Tan Sri Dr. James Masing meninggal dunia pagi ini.
“Walaupun banyak perbezaan politik dan pertelagahan, saya perlu kata yang pemergiannya adalah kehilangan besar untuk Sarawak,” kata Wong, presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam satu kenyataan.
Tambah Wong, beliau dan isteri sudah mengenali Masing sejak mereka di Tingkatan 6 di Sibu Methodist Secondary School.
Wong menggambarkan Masing sebagai “seorang pelajar bijak yang cemerlang dalam akademik dan mempunyai kemampuan kepimpinan yang menonjol.”
“Malah kerana itulah, beliau menjadi politikus yang berjaya, mengukuhkan kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri Sarawak.
“Kami akan (terus) mengingatinya.”
Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pemergian Masing adalah “Saya kehilangan seorang kawan baik.”
Tambahnya, khabar mengejutkan pagi tadi “meninggalkan lompang besar dalam jiwa kita bersama.”
“Kita kehilangan seorang negarawan tulen, dan Sarawak kehilangan anak jati kesayangan.
“Seorang nasionalis Sarawak sejati, Tan Sri Masing adalah pendengar yang baik dan lelaki yang budiman.”
Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah pada jam 7.05 pagi tadi.
Menurut laporan awal polis, Masing meninggal dunia kerana “komplikasi paru-paru” dan ujian Covid-19 menunjukkan beliau negatif.
Bagaimanapun, jenazah Masing sudah dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dan bedah siasat dijangka diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Tiada maklumat tentang upacara pengebumiannya, kecuali jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Datuk Ong Tiang Siew. – 31 Oktober, 2021.