Larangan guna nama 'meresahkan' adalah 'mengarut', kata majlis antara agama
Iklan
KEPUTUSAN Putrajaya untuk melarang sebarang nama jenama produk yang berpotensi “meresahkan” sensititivi mana-mana agama dan kaum susulan kontroversi Timah adalah “tidak bijak”, “kegilaan” dan “mengarut”, kata Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
Timbalan Presidennya Dao Zhang Tan Hoe Chieow meluahkan kebimbangan yang perpaduan Malaysia akan terus tergugat sekiranya keputusan itu diteruskan.
Tan yang juga presiden Persekutuan Persatuan Tao Malaysia berkata, peraturan itu bersifat subjektif terutama takrifan “meresahkan” seterusnya menyukarkan pelaksanaannya.
Tambahnya, Timah selaku jenama mempunyai penjelasan logik di sebalik namanya yang menafikan tuduhan ke atasnya, tetapi terpaksa mengalah dan mengubah namanya.
“Malaysia tidak sepatutnya begini, ini adalah urusan sekular. Sekarang, siapa yang akan putuskan jika kita mahu larang perkataan tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Patutkah ada prosedur baharu bila kita memohon nama jenama baharu? Perlukah kita melalui kementerian atau Jakim?” soalnya.
Semalam, Timbalan Presiden PAS yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Kabinet bersetuju untuk melarang penggunaan sebarang nama jenama yang meresahkan mana-mana kaum atau agama.
Tan juga meluahkan kekecewaan tentang toleransi kaum dan agama yang ditunjukkan dalam isu ini, berkata di Indonesia, negara paling ramai penganut Islam di dunia pun lebih baik berbanding Malaysia.
Beliau mencadangkan mungkin wujudnya keperluan untuk menyeimbangkan menteri perpaduan nasional yang dahulunya dipilih daripada politikus dari Sabah atau bukan Melayu.
“Kita dahulu ada menteri Melayu (Halimah Mohamed Sadique) dengan timbalan menteri Cina (Ti Lian Ker) yang menjaga hal ehwal bukan Melayu (ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin).
“Dan selepas perubahan kepimpinan (kepada Ismail Sabri Yaakob), kedua-dua menteri dan timbalan menteri adalah Melayu Islam (Halimah dan Wan Ahmad Fayhsal), adakah perpaduan hanya untuk Melayu?” soal Tan.
Katanya, perkara ini perlu diteliti memandangkan negara juga mempunyai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama, yang juga selalunya Melayu Islam.
Sementara itu, Profesor Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, sebarang perubahan penjenamaan perlu ditentukan oleh pasaran dan pengguna.
Tambahnya, persoalan sama ada sesuatu jenama atau produk “meresahkan” orang awam terlalu subjektif dan perlu ditentukan oleh pasaran sendiri.
“Ini ditentukan oleh apa yang dianggap pelanggan, bakal pelanggan dan pemegang taruh sebagai meresahkan.
“Jika anda tak suka jenama atau mesej jenama itu, tak perlu beli produk mereka. Serang syarikat di tempat yang menyakiti mereka, iaitu dalam jualan mereka.
“Ini yang akan menyebabkan syarikat mengubah jenama sebab mereka lebih komited kepada jualan (keuntungan) mereka,” katanya. – 31 Oktober, 2021.