September hingga Oktober, 53.4% kematian Covid-19 adalah mereka yang belum divaksin

Iklan
DALAM tempoh 1 September hingga 30 Oktober, 4,076 atau 53.4% kematian disebabkan Covid-19 adalah mereka yang belum divaksin, kata Dr Amar Singh HSS, hari ini.
18.3% atau 1,401 kematian lagi melibatkan mereka yang belum lengkap divaksin.
Tambahnya, kedua-dua kumpulan itu membentuk 71.7% kematian disebabkan Covid-19 dalam tempoh itu, yang menunjukkan keberkesanan vaksinasi.
Daripada jumlah kematian melibatkan mereka yang sudah divaksin dalam tempoh sama pula, 1,573 orang menerima vaksin jenama Sinovac.
Sinovac diberikan kepada 39.3% penduduk Malaysia yang menerima vaksinasi.
Pakar perubatan itu berkata jumlah itu berdasarkan data diambil dari laman web GitHub kendalian Kementerian Kesihatan.
Dr Amar berkata data ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi penuh yang juga menurunkan kemasukan ke hospital dan kematian.
“Walaupun hanya sejumlah kecil tidak divaksin, mereka adalah golongan terbesar jumlah kematian (disebabkan Covid-19). Vaksinasi berkesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, berdasarkan data berkaitan Sinovac, beliau berkata vaksinasi penuh masih boleh menyebabkan jangkitan teruk dan kematian.
“Data menunjukkan yang 2,159 atau 28.3% mereka yang lengkap vaksinasi meninggal dunia kerana Covid dalam tempoh ini,” katanya.
Tambahnya, jumlah kematian mereka yang lengkap vaksinasi Sinovac adalah 1,573 orang, tertinggi dalam kalangan kumpulan itu.
Beliau turut berkongsi rajah data itu di Twitternya.
Berdasarkan data itu, Dr Amar mencadangkan kumpulan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas dan individu komorbiditi yang menerima Sinovac patut diberikan vaksin mRNA sebagai dos perangsang.
Menurutnya, vaksin mRNA seperti Pfizer atau Moderna terbukti lebih berkesan melawan varian Covid-19 seperti Delta, berbanding Sinovac.
“Sinovac nampaknya tidak berkesan melindungi daripada varian Delta dan menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya.
Kerajaan sedang dalam proses memulakan pemberian dos perangsang kepada mereka yang menerima vaksin Sinovac.
Sementara itu, mereka yang diberikan vaksin Pfizer merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi, seramai 550 atau 25.5% daripada jumlah kematian.
52.1% rakyat Malaysia yang menerima vaksin diberikan Pfizer.
Bagi kematian melibatkan mereka yang mendapat vaksin Pfizer, Dr Amar berkata 75% daripadanya adalah warga emas berusia atas 60 tahun dengan 94% adalah individu komorbiditi.
Kematian melibatkan individu yang menerima Astrazeneca pula berjumlah 36 orang atau 1.7% daripada jumlah keseluruhan kematian.
Astrazeneca digunakan hanya 8% penduduk negara ini.
Sejak pandemik bermula tahun lepas, 28,876 orang terbunuh di Malaysia. – 31 Oktober, 2021.