Beri kami peranan utama dalam konservasi alam sekitar, kata Orang Asli
Iklan
MASYARAKAT Orang Asli mahu peranan yang lebih besar dalam penjagaan alam sekitar berbanding hanya membantu usaha pemuliharaan hutan.
Menurut masyarakat berkenaan rancangan kerajaan untuk melibatkan mereka ke dalam pemuliharaan alam semula jadi sekurang-kurangnya perlu meletakkan mereka dalam situasi menang-menang dengan agenda kerajaan.
Ini merujuk kepada pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai peruntukan sebanyak RM450 juta untuk pelbagai inisiatif alam sekitar.
Ini termasuk program untuk memperkasakan penglibatan masyarakat Orang Asli sebagai penjaga biodiversiti kawasan hutan, menerusi tambahan sehingga 1,000 orang penjaga.
Bekas presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon berharap peranan yang diberikan kepada Orang Asli bukan tugas yang tidak mempunyai kuasa.
Beliau bimbang tanggungjawab yang diberikan hanya akan menjadi boneka atau mengikut arahan pihak atasan.
“Mereka mungkin melantik Orang Asli dalam jabatan perhutanan, namun mungkin juga sebagai ‘yes man’ untuk menyokong keputusan kerajaan tanpa berfikir.
“Cadangan dan peruntukan kepada Orang Asli ini tidak boleh sekadar upah semata-mata dan tidak boleh menentukan apa yang terbaik untuk hutan dan masyarakat.
“Pendapat saya adalah lebih munasabah untuk menubuhkan sebuah badan khas untuk Orang Asli mentadbir dan menjaga alam sekitar,” katanya.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey, Selangor berkata rancangan untuk menjadikan Orang Asli sebagai penjaga biodiversiti tidak pernah didengari.
“Saya tidak pernah dengar mengenai rancangan sedemikian kerana kami sentiasa menjalankan peranan untuk menjaga hutan,” katanya yang enggan identiti didedahkan.
“Kami juga perlu bayar untuk protes bagi mengekalkan hutan,” kata Orang Asli itu merujuk kepada kontroversi Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Kerajaan negeri Selangor telah berhasrat menyahwartakan sekurang-kurangnya 537 hektar hutan simpan untuk pembangunan bercampur, yang sebahagian daripada tanah itu mempunyai penempatan Orang Asli.
Orang Asli dan peguam Amani Williams Hunt Abdullah dari Kg Ampang Woh di Tapah, Perak berkata beliau berhasrat untuk melihat kerajaan melakukan tinjauan tanah.
“Ini akan menyelesaikan isu tanah dan dakwaan pencerobohan yang sering dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.
“Apabila tiada ukur tanah, tanah itu tidak diwartakan dan tidak digazetkan, dan tiada perlindungan tanah untuk masyarakat,” katanya.
Amani lebih dikenali dengan panggilan “Bah Tony” di kampungnya di Kg Ampang Woh di Tapah, Perak.
Mndiang bapanya, Peter Darell Rider Williams-Hunt, merupakan penasihat orang asal di Malaysia sejurus selepas Perang Dunia II.
Dan beliau sendiri aktif memperjuangkan hak Orang Asli.
Bah Tony meminta kerajaan memberi butiran lanjut mengenai pengambilan masyarakat Orang Asli dalam program itu.
“Penglibatan macam mana? Jika ia hanya mengambil mereka sebagai kakitangan dalam apa jua program, maka ia hanya faedah dari segi pekerjaan.
“Apakah mekanismenya dan bagaimana ia akan melibatkan kepada Orang Asli? Bolehkah mereka terlibat secara langsung?” soalnya. – 2 November, 2021.
Berita penuh di sini.