Orang Asli mahu peruntukan Belanjawan 2022 diagih dengan telus
Iklan
MASYARAKAT Orang Asli bimbang peruntukan RM274 juta untuk mereka yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 akan hilang begitu sahaja, sebagaimana yang berlaku pada tahun sebelumnya.
Menurut mereka bantuan yang diberikan dalam jumlah yang besar dan ia meningkat daripada tahun sebelumnya, namun mereka bimbang tidak mendapat sebarang faedah daripadanya kerana mendakwa permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan sering ditolak atau diabaikan.
Mereka meminta kerajaan menubuhkan satu agensi yang boleh memantau dana termasuk Orang Asli sebagai ahli jawatankuasanya yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
Tok batin dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas di Banting, Selangor, Raman Pahat mendesak agar dana berkenaan diuruskan dengan lebih telus.
“Jika RM247 juta diberikan untuk Orang Asli, pastikan dana itu sampai kepada kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Seringkali apabila kami memohon daripada Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli), mereka maklumkan peruntukan tidak mencukupi.
“Perlu ada ketelusan. Tubuhkan badan pemantau agar agihan dapat memenuhi keperluan masyarakat kami.”
Katanya hingga kini penduduk kampung masih kekurangan keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan makanan.
Seorang lagi penduduk daripada Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey, Selangor yang enggan namanya disiarkan turut menyatakan masalah yang sama.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai Belanjawan 2022, tetapi apa yang saya tahu kebanyakan daripada kami tidak menerima peruntukan.
“Saya tidak pasti sama ada peruntukan RM274 juta itu cukup untuk masyarakat kami, namun apa yang saya tahu apabila kami minta, tiada apa yang kami dapat.
“Wang itu tidak nampak, ke mana perginya?” kata Orang Asli berkenaan.
Beliau berharap kerajaan dapat menggunakan peruntukanb itu bagi menambah baik keperluan asas di kampung mereka dan menyelesaikan isu pencemaran sungai.
“Tiada air untuk minum bila sungai tercemar, bolehkah kerajaan sekurang-kurangnya berikan kami air terawat?”
Penduduk juga berharap agar bantuan itu sampai pada masanya kerana mereka sering menunggu dalam keadaan terdesak.
Kadar kemiskinan Orang Asli meningkat
Amani Williams Hunt Abdullah, yang dikenali sebagai Bah Tony di kampungnya di Kg Ampang Woh di Tapah, Perak menegaskan bahawa peruntukan itu adalah umum dan tidak jelas.
“Tiada pecahan atau sebarang butiran lain mengenai peruntukan yang diperlukan.
“Setahu saya, sebahagian daripada bajet itu disalurkan kepada pendidikan seperti memasukkan Orang Asli ke universiti atau sekolah.
“Bagaimanapun, kami tidak pasti sejauh mana ia membantu dari segi kebajikan,” kata peguam itu.
Yusri Ahon dari perkampungan Orang Asli Sungai Mai di Jerantut, Pahang berkata agensi kerajaan tidak cekap mengurus dana dan mencapai kumpulan sasar.
Bekas presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) itu berkata beliau pernah mendengar bahawa dana bajet untuk Orang Asli telah dikembalikan kepada kerajaan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Dana itu diberikan semula kepada kerajaan persekutuan setiap tahun seolah-olah masyarakat Orang Asli tidak memerlukannya.
“Seorang daripada masyarakat Orang Asli dilantik sebagai ketua pengarah Jakoa sebelum ini. Dan kita tahu bahawa pada 2018, kira-kira RM17 juta telah dipulangkan, itu bukan sedikit.
“Kami tidak mahu salahkan kerajaan, tetapi kami mahu dana membantu kami dengan cara yang betul. Mereka perlu tahu keperluan masyarakat,” katanya.
Sementara itu Pengarah Center for Orang Asli Concerns (COAC) kerajaan perlu memastikan peruntukan itu disalurkan untuk keperluan Orang Asli, dan tidak disalurkan ke tempat lain.
“Walaupun jumlah yang diperuntukkan untuk belanjawan semakin meningkat dari tahun ke tahun, kadar kemiskinan dalam kalangan Orang Asli juga semakin meningkat.
“Kerajaan perlu menangani ketirisan dan perbaiki struktur semasa yang gagal. Dengan memberikan lebih banyak wang tidak menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Ketika membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan sebanyak RM274 juta bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.
Ini boleh meliputi subsidi dan bantuan kebajikan sosial untuk memanfaat hampir 200,000 Orang Asli.
Peruntukan itu merupakan peningkatan daripada RM158 juta kepada Orang Asli dalam Belanjawan 2021. – 2 November, 2021.