Iklan

Kerajaan Melayu Islam biar pusat judi bercambah, sindir Anwar

Anwar
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan tarikh sebenar kelulusan kelab perjudian yang dibenarkan beroperasi di negara ini.– Gambarfail The Malaysian Insight, 1 November, 2021.
Iklan

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim hairan dengan penambahan bilangan pusat perjudian walaupun kerajaan dipimpin majoriti wakil rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Katanya, pemimpin ini juga membiarkan orang Melayu dan Islam menganggotai 62 kelab judi berlesen ini sehingga jumlahnya 45% daripada keseluruhan ahli.

“Saya nak bangkitkan agak mengejutkan, iaitu penambahan pusat perjudian ketika kerajaan Melayu Islam, bertambah mengejutkan 62 kelab yang melibatkan kebenaran anggota Melayu, Muslim.

“Bila jadi ahli kelab mereka dibenarkan berjudi, jumlah Melayu Islam mencecah puluhan ribu.

“Ini melanggar (undang-undang), dan dilakukan dengan keadaan terbuka oleh kerajaan Melayu Islam,” kata presiden PKR itu di Dewan Rakyat.

Beliau seterusnya meminta Kementerian Kewangan menyatakan bilangan kelab perjudian yang dibenarkan beroperasi, di samping bilangan mesin slot perjudian.

“Nampak macam ada usaha lindungi fakta ini, berapa jumlah, slot machine, berapa Melayu terlibat, jangan nafi, ada rekod My Sejahtera Melayu terlibat kes ini.

“Saya minta kementerian kewangan dan polis semak kerana ada laporan polis,” kata Anwar lagi ketika membahaskan Bajet 2022.

Anwar juga meminta kerajaan menjelaskan tarikh sebenar kelulusan tersebut, yang mendakwa ia diberikan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum pada 2018.

“Nampaknya semarak dan bertambah keanggotaan penyertaan termasuk Melayu dalam setahun, setahun setengah lalu.

“Saya tahu libatkan dana besar dan bantuan kewangan yanh besar, tapi untuk izinkan perjudian bermaharajalela.

“Dan saya dapat maklumat 45% terlibat perjudian yang dibenarkan ini Melayu, yang diizinkan.

“Hal ini bukan harus dibincangkan tapi tindakan tegas, parti Melayu dan Islam kena ambil tindakan tegas,” kata Anwar. – 1 November, 2021.

Iklan
Iklan