Iklan

Putrajaya perlu perincikan perbelanjaan luar bajet, kata Anwar

Iklan

PUTRAJAYA perlu memberi butiran mengenai perbelanjaan luar bajet (off-budget) kerana ia ada kena mengena dengan kerajaan, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Tidak benar sama sekali ada kenyataan bahawa belanja berbilion-bilion itu tidak akan menyentuh dana kerajaan, ia (tanggungan) akan balik kepada kerajaan.

“Contoh terbesar yang terkenal seantero dunia adalah 1MDB. 1MDB ini dirangka oleh kerajaan, pada masa itu dikatakan off-budget tetapi seperti mana yang kita tahu bayarannya sehingga akhir Jun 2021 baki hutang 1MDB kekal pada RM32 bilion.

“Siapa bayar, syarikat bayar? Kerajaan?” katanya semasa perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini. 

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan telah menjelaskan RM12.8 bilion komitmen kewangan dan bayaran khidmat hutang 1MDB. 

“RM10 bilion daripada jumlah ini dijelaskan melalui pinjaman dan pendahuluan kepada kerajaan atau MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) manakala bakinya dari akaun amanah,” kata Anwar.

Menurutnya, ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam negara mencapai tahap membimbangkan sehingga Majlis Keselamatan Negara juga dilapor mengalami kerugian RM510 juta akibat kelemahan tadbir urus.

“Sebab itu saya nak ungkit di sini Laporan Ketua Audit terbaru yang juga melibatkan Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri pun bocor (tiris).

“Ini lah sebabnya mengapa Laporan Ketua Audit Negara itu harus diambil tindakan oleh kerajaan sama ada dipengerusikan perdana menteri atau menteri kewangan, mempastikan semua persoalan yang dibangkitkan dijawab dan siapa yang bertanggungjawab.

“Apakah dia menteri atau KSU atau pengarah jabatan mesti dipertanggungjawabkan atas kebocoran dan ketirisan ini,” ujarnya. – 1 November, 2021.   

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan