Iklan

Beri projek Bandar Malaysia kepada KWSP, kata Najib

50066913741 ce1d2fc4bf b
Najib turut mencadangkan projek diberikan kepada Permodalan Nasional Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2021.
Iklan

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diberikan projek lumayan bagi mengimbangi pengeluaran simpanan melalui skim bantuan kepada pencarum, kata Najib Razak.

Selain itu, KWSP juga boleh menaikkan caruman pekerja dan majikan, katanya ketika mencadangkan pencarum dibenarkan mengeluarkan sehingga RM10,000 sebagai bantuan.

Beliau mencadangkan Bandar Malaysia sebagai projek yang patut diberikan kepada badan seperti KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Ia patut diperluas ke tabung simpanan lain seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

“Dengan cara ini matlamat rapatkan jurang pendapatan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan tercapai,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam ucapannya sewaktu membahaskan Bajet 2022, beliau berkata, ia bagi membolehkan KWSP menaikkan had pengeluaran maksimum i-Citra kepada RM10,000.

“Ini bukan langkah populis tetapi berpunca daripada keperluan mendesak rakyat.

“Sebagai mengimbangi pengeluaran ini kerajaan perlu memberi keutamaan memulihkan simpanan rakyat dalam KWSP,” kata Najib.

Beliau mencadangkan agar KWSP menggunapakai struktur pembayaran dividen berperingkat untuk pengagihan yang lebih adil kepada pencarum. – 1 November, 2021.     

Projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion adalah antara projek utama diumumkan Najib sewaktu menjadi perdana menteri keenam.

Ia dibatalkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pada 2021 selepas perjanjiannya berakhir pada 6 Mei. – 1 November, 2021.

Iklan
Iklan