Iklan

Cukai Makmur mungkin halang pelabur, kata Najib

49932243507 2624718900 b
Bursa Malaysia susut 33 mata pada tengah hari susulan pengumuman pelbagai cukai dalam Bajet 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen Pekan Najib Razak bimbang dengan keputusan Putrajaya untuk mengenakan Cukai Makmur secara ‘one-off’ ke atas syarikat yang membuat keuntungan serta pendapatan yang diperoleh dari luar negara.

Ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini, bekas perdana menteri itu berkata “kadar cukai Malaysia kini tertinggi di Asean” susulan pemansuhan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang diperkenalkan oleh pentadbirannya.

“Malah ia lebih tinggi daripada Amerika Syarikat, yang mengurangkan kadar cukainya secara eksponen sejak dua tahun lalu,” katanya.

Najib berkata, Cukai Makmur, walaupun diadakan sekali sahaja, mungkin menggusarkan pelabur yang bimbang mereka akan dikenakan cukai sekali lagi apabila kemungkinan kerajaan terdesak untuk mendapatkan dana.

“Kita kena faham apabila kita memilih pelabur asing, mereka juga memilih kita. Mereka mungkin mempunyai negara lain sebagai alternatif,” katanya.

Najib berkata, pelabur sebaliknya akan beralih ke negara jiran yang mengenakan kadar cukai lebih menarik.

Beliau menjelaskan, pengumuman pelbagai cukai juga menyebabkan Bursa Malaysia susut 33 mata pada tengah hari, yang menghapuskan kira-kira RM25 bilion daripada pasaran saham.

Beliau berkata, cukai pendapatan yang diperoleh daripada sumber asing juga boleh menyebabkan banyak syarikat menyimpan wang mereka di negara sumber.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata semasa membentangkan Bajet 2022 minggu lalu bahawa cukai ‘one-off’ sebanyak 33% akan dikenakan bagi syarikat berpendapatan melebihi RM100 juta dan 24% untuk RM100 juta pertama. – 1 November, 2021.

Iklan
Iklan