Iklan

Kecoh isu Timah, ketirisan RM620 juta senyap saja, kata Syed Saddiq

Syed saddiq (2)
Adakah fokus yang sama, kritikan yang sama diberikan berkenaan isu ketirisan RM620 juta duit rakyat, soal Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mempersoalkan mengapa wiski keluaran tempatan Timah menjadi isu hangat di Parlimen tetapi wakil rakyat membisu mengenai pembaziran RM620 juta yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara minggu lalu.

“Ada tiga menteri yang perlu bincangkan secara khas berkenaan isu Timah, hanya berkenaan satu nama syarikat yang wujud bertahun-tahun, adakah fokus yang sama, kritikan yang sama diberikan berkenaan isu RM620 juta ketirisan duit rakyat?

“Tak ada, lesap, diam sahaja dalam dewan ini, tetapi berkenaan isu Timah, seperti ini adalah isu paling besar di negara,” katanya semasa perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, terdapat sedikit wacana mengenai isu mendesak dalam negara.

“Apa yang kita dengar setiap hari, sejak dua minggu lalu adalah isu Timah. Tukar nama Timah.

“Adakah mesyuarat khas kabinet membincangkan isu Timah? (Mereka) memutuskan untuk menukar nama dalam mesyuarat kabinet.”

Beliau berkata, nama syarikat itu berjaya mengalih perhatian terhadap isu yang lebih penting seperti ketirisan, rasuah, pekerjaan berkualiti dan pendidikan.

“Begitu banyak masa dan usaha (diberikan) terhadap isu kosmetik. Tetapi isu yang lebih penting dalam hati rakyat Malaysia tidak diberi masa yang mencukupi,” katanya.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid menyatakan pada 28 Oktober pengurusan kewangan yang lemah oleh kementerian dan jabatan menyebabkan ketirisan dana awam berjumlah RM620.07 juta.

Sementara itu, syarikat pengeluar wiski Timah, Winepak Corporation (M) Sdn Bhd berkata, nama itu merujuk kepada perlombongan bijih timah di Tanah Melayu zaman kolonial, manakala lelaki yang digambarkan di label botol itu adalah Kapten Speedy, yang dikatakan memperkenalkan budaya wiski di negara ini.

Winepak Corporation menyatakan dengan latar belakang sejarah inilah nama ‘Timah’ digunakan dan ia tidak bertujuan untuk mencetuskan sebarang kontroversi. – 1 November, 2021.

Iklan
Iklan