Rafizi nak kritik Anwar atau Mat Sabu, tanya Pemuda Amanah
Iklan
SEORANG pemimpin Pemuda Amanah mempersoalkan agenda sebenar naib presiden PKR Rafizi Ramli menuduh Amanah beriya-iya mahu Pakatan Harapan (PH) menerima wakil rakyat Melaka dari Umno dan Bersatu yang lompat parti.
Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang Sheikh Khuzaifah Bawezeer hairan maksud sebenar Rafizi apabila menuduh pimpinan Amanah berkeras mahu PH membenarkan tiga bekas Adun Umno dan Bersatu untuk bertanding sebagai calon gabungan itu.
“Adakah Rafizi mahu mencipta persepsi bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim lemah dan terpaksa menanggung akibat orang lain.
“Adakah itu sebenarnya mesej yang beliau nak sampaikan kepada ahli PKR,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sheikh Khuzaifah menjelaskan kedudukan tiga bekas Adun Umno dan Bersatu Melaka adalah keputusan Majlis Presiden PH, dan bukannya keputusan sendiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari.
“Ia adalah keputusan kolektif bersama dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. Dalam erti kata lain, ia keputusan bersama tiga parti dan kita tidak boleh kata ia kehendak Mohamad Sabu atau Adly Zahari saja,” tambahnya.
Pada awal Oktober, empat wakil rakyat Melaka, termasuk tiga exco kerajaan negeri, menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali, menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar untuk pilihan raya semula.
Empat Adun berkenaan ialah Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dari Umno, serta Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dari Bersatu dan wakil rakyat bebas Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Majlis Presiden PH sebelum ini menetapkan tidak akan menerima Norhizam, yang juga bekas wakil rakyat DAP tetapi keluar parti pada Mac 2020 untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Semalam, Anwar berkata PH sedang membincangkan kedudukan tiga Adun bekas Umno dan Bersatu sebelum memutuskan sama ada mencalonkan mereka pada PRN Melaka.
Awal hari ini, Rafizi meminta Mohamad dan Adly menjawab kritikan umum terhadap PH kerana menerima “katak politik” di Melaka, dan tidak membiarkan PKR menanggung beban menjelaskan perkara itu kepada umum.
Menurut Anwar, tiga bekas Adun Umno dan Bersatu itu tidak boleh disamakan dengan ahli Parlimen PKR dan Bersatu yang mengkhianati PH semasa percaturan politik Langkah Sheraton.
Katanya, mereka bukan mengkhianati mandat rakyat tetapi menarik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali kerana hendak mengembalikan kuasa kepada PH.
Sementara itu, Sheikh Khuzaifah berkata Rafizi boleh bersuara terus kepada Anwar sekiranya beliau ada masalah dengan kepimpinan presiden partinya, dan bukannya menyerang Amanah.
Tindakan itu tidak wajar terutama ketika PH sedang berhadapan PRN Melaka, yang ditetapkan pencalonannya Isnin (8 November) ini.
Beliau berkata jika benar Rafizi tidak berpuas terhadap Anwar beliau sepatutnya menyatakan hal itu terus kepada pemimpinnya dan bukannya menyasarkan Amanah.
Tambahnya lagi tindakan Rafizi itu tidak wajar terutama apabila ia menghampiri pengumuman pencalonan Pilihan Raya Negeri Melaka pada Isnin depan.
“Rafizi tak patut buat kenyataan begitu kerana terutama dia bekas naib presiden. Kalau tidak puas hati, boleh bawa hal itu ke partinya.
“Kalau beliau tidak setuju kritiklah PKR secara umum tapi apa tujuan cuma nak petik Mohamad Sabu dan Adly,” katanya.
Awal hari ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengkritik perangai “suka berbunyi” selepas mesyuarat membuat keputusan.
“Dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi boleh menyuarakan pandangan, kita boleh tak berpuas hati, tapi selepas keputusan dibuat kita tak boleh kata ‘oh dulu aku dah kata ini silap’.
“Ini bukan satu disiplin yang kita terima dalam berkawan,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini. – 1 November, 2021.