Iklan

Halimah perlu jawab isu Mitra di Dewan Rakyat, kata ahli Parlimen PKR

Screenshot (583)
Halimah, ahli Parlimen Tenggara diminta menyentuh isu Mitra ketika ucapan penggulungan di Dewan Rakyat. – Gambar Facebook, 1 November, 2021.
Iklan

MENTERI Perpaduan Negara Halimah Mohamad Sadique harus menjelaskan kepada Dewan Rakyat isu penyelewengan dana untuk masyarakat India, kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana terdapat maklumat yang mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan individu berkepentingan politik terbabit menerima dana untuk Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), katanya.

“Siapa yang menduduki NGO ini, saya ada senarai… satu, dua tak semua, yang terlibat dengan orang politik tertentu dalam jawatan, hari ini masih ada lagi, penjawat jawatan itu dah pegang jawatan eksekutif dalam Dewan ini.

“Saya tak buat tuduhan. Saya ada maklumat. Bila menteri jawab, barulah saya kemukakan. Adakah benar si polan si polan ini terlibat,” kata Saifuddin, semasa membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung PKR berkata, Halimah yang juga ahli Parlimen Tenggara harus menyentuh isu Mitra ketika ucapan penggulungannya nanti.

“Sementara agensi penyiasatan teruskan siasatan, menteri berkenaan kena tampil beri jawapan, di mana silap kelemahan pelaksanaan. Niat baik, komitmen RM100 juta, pelaksanaan ada kecacatan… tak perlu ada sindrom penafian.

“Saya syor supaya topik ini bila penggulungan kementerian berkenaan dijawab secara telus,” kata Saifuddin Nasution.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengumumkan menahan 16 orang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan jutaan ringgit dana Mitra.

Semua individu terbabit yang berusia antara 24 tahun dan 68 tahun dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kira-kira 60% daripada peruntukan geran yang diberikan melalui Mitra tidak sampai kepada kumpulan komuniti India B40 yang sepatutnya. – 1 November, 2021.

Iklan
Iklan