Malaysia belum sedia beralih ke fasa endemik Covid-19, kata jawatankuasa Parlimen
Iklan
JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi telah membuat kesimpulan bahawa negara belum bersedia untuk peralihan penuh kepada fasa endemik Covid-19 berdasarkan data yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, kata pengerusi jawatankuasa itu.
Dr KJelvin Yii yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching berkata jawatankuasa itu bermesyuarat semalam bagi membincangkan laporan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta pandangan pakar luar termasuk Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains Covid-19 (EAG).
“Berdasarkan data yang diberikan oleh kementerian, jawatankuasa membuat kesimpulan bahawa kita TIDAK BERSEDIA untuk melakukan peralihan sepenuhnya sehingga semua langkah yang perlu diambil termasuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, mengintegrasikan teknologi dan pendigitalan ke dalam pendekatan kesihatan awam dan mengarusperdanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memberi lebih banyak perlindungan terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi,” kata Dr Yii dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa itu turut mengemukakan 10 cadangan untuk kerajaan “untuk memberi tumpuan dan melabur sebelum negara kita bersedia untuk peralihan sepenuhnya dengan selamat dan mampan”.
Antaranya ialah meningkatkan kapasiti kesihatan awam khususnya meningkatkan kapasiti negara untuk mencari, menguji, mengesan, mengasingkan dan menyokong (FTTIS) bagi menangani kemungkinan lonjakan kes berikutan kelonggaran sekatan dan persediaan menghadapi wabak masa depan.
“Ini termasuk meningkatkan kapasiti ICU di semua negeri untuk menyediakan kualiti penjagaan yang baik dan mengurangkan kadar kematian sekiranya berlaku lonjakan kes,” kata Dr Yii.
Selain itu, Dr Yii berkata strategi ujian nasional yang komprehensif penting untuk memudahkan peralihan yang selamat dan menyediakan panduan untuk kekerapan ujian bagi semua sektor dan industri di negara ini.
Satu lagi syor utama ialah kerajaan mengamalkan prinsip “pendekatan seluruh kerajaan, seluruh negara”.
Pendekatan itu, katanya, akan melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan daripada penjagaan kesihatan awam dan swasta serta masyarakat sivil. – 2 November, 2021.
Berita penuh di sini.