Iklan

Pekerjaan berkualiti, umur bersara lebih tua untuk tambah simpanan KWSP, kata pakar

49932304572 2f6328008d o
KWSP berkata pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra menyebabkan simpanan sangat rendah bagi kebanyakan pencarum di bawah usia 50-an. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.
Iklan

MENAIKKAN umur persaraan wajib, memperkenalkan pendapatan asas bagi individu di atas umur persaraan dan mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti adalah antara cadangan pakar untuk mengisi semula wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan ketika epidemik.

KWSP baru-baru ini berkata pengeluaran dibuat yang berkaitan dengan Covid-19 sepanjang dua tahun lalu memberi kesan besar terhadap simpanan pencarum, kerana pada masa ini hanya 3% daripadanya yang mempunyai jumlah mencukupi selepas bersara.

Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra menyebabkan simpanan sangat rendah bagi kebanyakan pencarum di bawah usia 50-an.

Ketua Penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata isu simpanan persaraan yang susut sangat kritikal dan berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini masalah itu berpunca daripada ahli menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh tiga tahun selepas bersara. Sekarang keadaan bertambah teruk,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu ingat hutang isi rumah juga sangat tinggi, mencecah 90% daripada KDNK dan sekarang berlegar bawah sedikit dari angka itu.”

Nambiar berkata pada masa ini amat perlu untuk melihat semula rangka kerja perlindungan sosial negara.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menaikkan umur persaraan wajib kerana negara sedang menuju kepada populasi menua, katanya. Usia bersara wajib semasa ialah 60 tahun.

“Kerajaan juga perlu mengkaji untuk memperkenalkan pendapatan asas minimum bagi mereka yang di atas usia persaraan.

“Bagi mengurangkan beban perbelanjaan operasi kerajaan boleh meletakkan bakal penjawat awam dalam skim tiada pencen dan sebaliknya menjadikan pendapatan minimum boleh dibayar kepada semua rakyat Malaysia yang sudah melepasi usia bersara wajib.

“Ini akan memberi manfaat kepada mereka yang tiada simpanan KWSP, dan juga mereka yang tidak pernah membuka akaun KWSP dan berdepan kemungkinan terpaksa menanggung diri ketika sudah tidak bekerja lagi.”

KWSP berkata pengeluaran dibuat berkaitan Covid-19 sepanjang dua tahun lalu memberi kesan besar terhadap simpanan pencarum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2021.

Pakar ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata orang ramai perlu melihat lebih jauh, bukan saja KWSP untuk menyelesaikan isu tidak cukup pendapatan selepas bersara.

“Saya fikir, KWSP tidak sepatutnya menjadi satu-satunya pihak yang perlu memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan mencukupi bila mereka bersara,” kata Afzanizam kepada The Malaysian Insight.

“Betul, perbaiki proses untuk skim pengeluaran dan pulangan pelaburan akan perlu dibuat, tetapi ini adalah perkara yang memang mereka lakukan.

“Jadi kita perlu melihat melangkaui KWSP bagi menangani masalah ini. Ada faktor gaji yang perlu berkembang lebih cepat dan dalam keadaan sekarang, fokus sepatutnya kepada pendapatan sebenar, selepas mengambil kira kos sara hidup.”

Beliau berkata keperluan lain ialah mencipta pekerjaan berkualiti dan pada masa sama mengekalkan kuasa membeli.

“Jadi wujud isu memastikan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang memerlukan perhatian penuh daripada pihak berkuasa.”

Katanya, kebimbangan lain ialah berkenaan tahap pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Banyak kita dengan sesetengah rakyat Malaysia tidak mampu sediakan wang kecemasan RM1,000. Ini menunjukkan paras celik kewangan sangat perlu dianalisis,” kata Afzanizam.

“Pendekatannya perlu secara keseluruhan bagi menangani kekurangan dana persaraan apabila rakyat Malaysia bersara.”

KWSP baru-baru ini berkata ia kini fokus kepada membantu pencarum membina semua simpanan mereka untuk masa depan, susulan kemudahan pengeluaran yang disediakan bagi membantu mereka berdepan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pengeluaran ini termasuk i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, menyebabkan RM101 bilion dikeluarkan kepada lebih 7.4 juta pencarum, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan jumlah ahli KWSP,” katanya.

KWSP berkata penurunan simpanan dalam kalangan ahli Bumiputera paling membimbangkan kerana 78% pemohon untuk pengeluaran adalah Bumiputera.

Kesannya ialah 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang RM10,000 simpanan, dan 2 juta atau 25% hanya ada simpanan kurang RM1,000 dalam akaun KWSP mereka. – 3 November, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan