Iklan

Siap sedia mogok kedua, kata Hartal Doktor Kontrak

Ragananthini Vethasalam3 years ago2nd Nov 2021Berita
Contract doctor hartal 20210726 tmihasnoor 013
Pada 26 Julai lalu ratusan doktor kontrak seluruh negara mogok selama 10 minit sebagai bantahan terhadap status lantikan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.
Iklan

GERAKAN Hartal Doktor Kontrak akan mogok sekali lagi sebagai bantahan terhadap kerajaan susulan Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lalu tidak menawarkan penyelesaian jangka panjang bagi isu lantikan tetap doktor kontrak, kata wakilnya.

“Kami rasa seperti tidak dihargai,” kata wakilnya Dr Mustapha Kamal kepada The Malaysian Insight.

“Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan diadakan dalam masa terdekat. Ia berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal membela kami.”

Pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan bersetuju untuk melanjutkan khidmat kontrak 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi untuk tempoh maksimum empat tahun, berbanding dua tahun ketika ini begitu mengejutkan, tambahnya.

Pengumuman Tengku Zafrul itu bukanlah penyelesaian jangka panjang yang diharapkan doktor kontrak lebih-lebih lagi KKM menerima peruntukan kedua terbesar iaitu RM32.4 bilion dalam Bajet 2022.

Sejak 2016 hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan ditawarkan jawatan tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Pada 26 Julai lalu ratusan doktor kontrak di hospital kerajaan seluruh negara berpakaian hitam dan mengadakan mogok aman sebagai bantahan terhadap status lantikan mereka.

Sebelum itu pada 1 Julai, Gerakan Hartal Doktor Kontrak menyerahkan memorandum menuntut kerajaan menawarkan lantikan tetap kepada pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada serta memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap. – 2 November, 2021.

Iklan
Iklan