Iklan

Bajet 2022 gagal susun strategi tambah KWSP, kata pakar ekonomi

Ragananthini Vethasalam3 years ago2nd Nov 2021Berita
49933876667 4677c9e907 o
Felo penyelidik kanan, ISEAS-Yusof Ishak Institute Lee Hwok Aun berkata kerajaan sepatutnya berusaha ke arah untuk megisi semula simpanan KWSP seiring dengan usaha memulihkan ekonomi dan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.
Iklan

BAJET 2022 sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha menambah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang semakin susut akibat pengeluaran untuk membantu pembayar cukai ketika pandemik, kata pakar ekonomi.

Sebaliknya, pengumuman bajet mengenai lanjutan sehingga Jun untuk kadar caruman berkanun syer pekerja pada kadar minimum 9 peratus (bukannya 11 peratus) adalah tidak wajar, kata Lee Hwok Aun, felo penyelidik kanan, ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.

Beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan bergerak ke arah usaha mengisi kembali simpanan KWSP seiring dengan langkah lain yang diambil bagi memulihkan ekonomi dan penularan Covid-19.

“Saya rasa tidak wajar untuk lanjutkan pengurangan kadar caruman kepada 9 peratus sehingga Jun 2022, terutamanya selepas (pengeluaran) i-Sinar dan i-Lestari,” kata Lee merujuk kepada program yang membenarkan pengeluaran dana persaraan yang diperkenalkan tahun lepas.

Beliau berkata demikian dalam webinar yang dihoskan Penasihat Kewangan UOB Kay Hian membincangkan tentang Bajet 2022 dibentangkan di Parlimen Jumaat lepas.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, bagaimanapun, memandang positif lanjutan itu, berkata ia baik untuk ekonomi dan membolehkan pekerja mempunyai lebih banyak wang tunai.

“Dengan lebih banyak wang tunai di tangan pekerja, boleh menjadikan ekonomi tempatan lebih rancak (melalui penggunaan) yang sangat diperlukan buat masa ini,” katanya kepada webinar itu.

“Sudah tentu kita perlu bercakap tentang kesan jangka panjang pengurangan ini, tetapi menangani situasi semasa juga kritikal,” tambahnya.

Shamsuddin menggalakkan majikan mencarum lebih banyak kepada KWSP yang boleh menjadi simpanan tambahan kepada pekerja buat hari tua mereka. 

Tambahnya pekerja juga harus digalakkan untuk menyimpan lebih banyak selepas ekonomi kembali kukuh.

Semasa membentangkan Bajet 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata KWSP akan melanjutkan caruman minimum 9 peratus sehingga Jun 2022. – 2 November, 2021.

Iklan
Iklan