Iklan

Kerajaan perlu segera tangani krisis pendapatan bakal terjadi, kata Tony Pua

Ragananthini Vethasalam3 years ago2nd Nov 2021Berita
49935924453 f08a7b2401 o
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua hari ini menggesa kerajaan segera tangani kemerosotan hasil KDNK yang jika tidak diselesaikan segera, akan mengakibatkan krisis dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA perlu tangani kemerosotan hasil keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekarang sebelum bertukar menjadi krisis dalam tempoh tiga hingga lima tahun, kata ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

“Apa yang tidak dibangkitkan dalam Bajet 2022 ialah bagaimana kita boleh selesaikan krisis yang akan berlaku ini dalam masa tiga hingga lima tahun,” katanya semasa webinar ekonomi dasar awam yang dihoskan oleh UOB Kay Hian Wealth Advisors hari ini.

“Apa yang kita lihat hari ini merupakan pengurangan hasil sebagai peratusan KDNK untuk bajet kita,” tambahnya.

Beliau berkata pada 2018 peratusan hasil adalah pada 15 hingga 16 peratus dan bahagian itu dijangka menurun kepada kurang 14 peratus pada 2025.

“Itu menimbulkan masalah kerana berbanding dengan banyak negara lain peratusannya kekal sekitar 30 peratus atau lebih 30 peratus KDNK.

“Malaysia separuh atau kurang separuh berbanding sasaran, bermakna kerajaan tidak ada wang yang cukup untuk mempengaruhi hala tuju ekonomi atau membantu rakyat yang memerlukan bantuan pada masa hadapan,” kata Pua.

Beliau berkata kerajaan juga mempunyai sedikit ruang untuk bergerak kerana jumlah yang ada untuk perbelanjaan mengikut budi bicara adalah terhad dengan perbelanjaan tetap seperti emolumen untuk perkhidmatan awam yang mengambil sebahagian daripada perbelanjaan mengurus.

Beliau berkata ini bermakna kerajaan mempunyai kurang daripada 30 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk dibelanjakan bagi keperluan lain seperti bekalan.

“Itu adalah krisis besar bagi kerajaan dan ia perlu ditangani hari ini supaya kita boleh bersedia menghadapi krisis dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Ini belum dapat diselesaikan dan saya tidak pasti sama ada kerajaan ada kemahuan politik untuk buat. Itu sebenarnya yang saya bimbang untuk jangka masa panjang,” kata Pua. – 2 November, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan