Iklan

Ivermectin tidak kurangkan risiko jangkitan teruk Covid-19, dedah kajian klinikal

Ragananthini Vethasalam3 years ago3rd Nov 2021Berita
000 1vk5m4
Kajian Ivermectin oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 500 pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk Kategori 2 dan Kategori 3 Covid-19. – Gambar AFP, 3 November, 2021.
Iklan

IVERMECTIN tidak disyorkan untuk rawatan Covid-19 kerana ia tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengumumkan dapatan kajian klinikal ke atas ubat itu.

Kajian Ivermectin (I-TECH) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 500 pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk Kategori 2 dan Kategori 3 Covid-19.

Noor Hisham berkata kajian klinikal open-label randomised trial tersebut menilai keberkesanan rawatan 5 hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan hanya penjagaan standard (kumpulan standard of care - SOC) yang berdasarkan garis panduan KKM untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Maeps 2.0.

Kajian percubaan itu dijalankan oleh pakar perubatan dan doktor penyakit berjangkit yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH).

“Berdasarkan hasil kajian I-TECH, Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana Ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

“KKM menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata kajian I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar lain seperti IVERCOR-Covid19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal.

“Diharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada Pengamal Perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

“Pengamal Perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia,” katanya.

Noor Hisham berkata pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal peer-reviewed bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian Ivermectin termasuklah meta-analysis.

Dapatan kajian

Noor Hisham berkata hasil utama kajian adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat Ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap yang teruk (kategori 4 atau 5), iaitu di kalangan pesakit berumur 50 tahun dan ke atas, serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

Pengarah ICR Dr Kalaiarasu M. Peariasamy berkata kajian I-TECH mendapati pesakit dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC mempunyai kadar perkembangan yang sama, masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus.

“Bagi dapatan yang sama, purata tempoh kemerosotan adalah 3.0 hari bagi kumpulan IVM dibandingkan dengan 2.9 hari untuk kumpulan SOC, namun tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik; p=0.68,” katanya.

Kajian dijalankan oleh KKM ini mendapat kelulusan Jawantankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan pada 25 Mei 2021 serta telah didaftarkan di ClinicalTrials.gov pada 31 Mei 2021 bagi mendedahkan maklumat penting berkenaan kajian I-TECH kepada umum.

Daripada 500 subjek yang didaftarkan dalam kajian ini, seramai empat individu telah dikecualikan kerana tidak memenuhi kriteria kajian, manakala seramai enam individu telah menarik diri atas sebab kebimbangan terhadap kesan sampingan Ivermectin. Subjek terakhir direkrut pada 9 Oktober 2021 dan penilaian susulan terakhir adalah pada 25 Oktober 2021.

Menurut penyelidik utama kajian I-TECH, Dr. Steven Lim Chee Loon, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua- dua kumpulan tersebut.

Katanya kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari ke-5 penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.

Selain daripada itu, analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga (3) kali lebih kerap berlaku di dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC di mana kebanyakannya adalah kes cirit birit.

Sementara itu, terdapat trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard, namun trend pengurangan ini tidak mencapai keputusan statistik yang signifikan.

Menurut Profesor Dr. Lai Nai Ming dan Profesor Madya Dr. Karuthan Chinna dari Taylor’s School of Medicine yang bertanggungjawab menyediakan analisis statistik secara bebas, kajian I-TECH tidak dapat mengesahkan dapatan bahawa penggunaan ivermectin di hospital dapat mengurangkan kematian dalam tempoh 28 hari, berbanding dengan penjagaan standard sahaja.

Ini kerana jumlah kematian adalah amat kecil (13/490) dan ini seterusnya menyebabkan penilaian yang terhad ke atas hasil dapatan tersebut.

Ivermectin telah menjadi topik perbualan hangat di kalangan peguam bela termasuk ahli politik yang mendesak penggunaan ubat antiparasit itu dalam rawatan Covid-19, walaupun keberkesanannya masih tidak dibuktikan. – 3 November, 2021.

Iklan
Iklan