Iklan

Doktor syor vaksin Covid-19 diberi kepada kanak-kanak 5-11 tahun

Ragananthini Vethasalam3 years ago4th Nov 2021Berita
50585084467 19f7ec625e o
Pakar perunding paediatrik Dr Musa Nordin berkata kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun perlu diimunisasi dengan vaksin Covid-19 jenis Pfizer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.
Iklan

MEMBERI suntikan vaksin kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dapat membantu melindungi mereka daripada Covid-19 terutama varian Delta, kata doktor.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) bersetuju memberikan vaksin Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun, berkata manfaat vaksin mengatasi risiko.

Pakar perunding paediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara Dr Musa Nordin berkata kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun perlu diimunisasi dengan vaksin jenis Pfizer.

“Saya setuju dengan keputusan sebulat suara 14-0 Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi (ACIP) CDC yang mengesyorkan kumpulan umur itu divaksin dengan rejimen dua dos 10 µg (mikrogram) (1/3 daripada dos dewasa) dengan jarak 21 hari.

“Analisis manfaat risiko lebih berpihak kepada pemberian imunisasi,” katanya.

Dr Musa yang juga ahli Persatuan Paediatrik Malaysia berkata setakat 2 November, 14% kanak-kanak bawah umur 11 tahun, atau 347,000 dijangkiti Covid-19. Daripada jumlah itu, 0.2% atau 58 kanak-kanak maut akibat koronavirus.

“Kes dan kematian seperti ini dapat dicegah kerana ada vaksin untuk mencegah mereka daripada dijangkiti Covid-19 dan melindungi mereka daripada maut,” katanya.

“Saya akan vaksin tiga cucu saya, yang berumur lima, enam dan tujuh tahun bagi mencegah mereka dijangkiti Covid-19 dan mengelak kematian kanak-kanak yang ke-59,” katanya.

Beliau berkata sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 didiagnosis dalam keadaan sudah teruk yang dikenali sebagai sindrom keradangan sistemik (MIS-C), di mana organ kanak-kanak berkenaan mengalami radang dan memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi (ICU).

Pakar syor kumpulan umur lima-11 tahun divaksin dengan vaksin jenis Pfizer, rejimen dua dos 10 µg (mikrogram) (1/3 daripada dos dewasa) dengan jarak 21 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.

“Kajian terbesar dunia berkenaan komplikasi jangka panjang Covid-19 atau Long Covid dalam kalangan kanak-kanak yang dibuat di United Kingdom menunjukkan, selepas dijangkiti, 14% mengalami tiga atau lebih gejala penyakit selama 15 minggu.

“Paling biasa ialah sakit kepala dan keletihan yang luar biasa. Ada juga mengalami kesukaran bernafas dan masalah kesihatan mental. Ini adalah beban daripada Long Covid,” kata Dr Musa.

Beliau berkata imunisasi akan bukan hanya mencegah kanak-kanak dijangkiti Covid-19 tetapi juga mengelak masalah kronik Long Covid.

“Kerajaan UK melabur RM249 juta dalam penyelidikan Long Covid dan Pusat Kesihatan Negara (NHS) melabur RM755.3 juta di 80 klinik Long Covid.

“Saya harap Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan perkara sama. Tetapi mulakan dengan mencegah lebih banyak jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak menerusi vaksinasi dan mengurangkan beban Long Covid,” katanya.

Beliau berkata ada satu saja kesan sampingan yang jarang berlaku, dikaitkan dengan vaksinasi iaitu keradangan jantung (myokarditis).

“Data menunjukkan ia kurang berlaku dalam kalangan kanak-kanak lebih muda berbanding golongan remaja 12-17 tahun. Tiada kes dipantau sepanjang percubaan, tetapi susulan jangka panjang perlu dilakukan memandangkan jumlah percubaan kecil,” katanya.

Dr Musa berkata imunisasi kanak-kanak lima hingga 11 tahun akan turut meningkatkan peluang mencapai sasaran 90% komuniti kelompok dan mengurangkan risiko varian lebih jahat wujud dan berkembang.

“Doktor keluarga anda dan pakar paediatrik anda menguruskan vaksin anak-anak anda selama ini. Penting untuk bercakap dengan doktor jika anda ada kebimbangan tertentu berkenaan vaksin,” katanya. – 4 November, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan