Azalina pertahan tindakan bincang undang-undang lompat parti di Melaka
Iklan
AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said hari ini menegur peguam yang berkata beliau tiada hak mencadangkan undang-undang anti-lompat parti dilaksanakan di Melaka.
Azalina mempertahankan peranannya untuk terlibat dalam hal ehwal kerajaan negeri dan perundangannya sebagai ahli Parlimen Malaysia, walaupun bukan seorang daripada 28 Adun Melaka yang dilantik.
“Adakah ahli Parlimen Malaysia ‘orang luar’?” bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu menulis di Twitter sebagai respons kepada komen peguam yang disiarkan di portal Free Malaysia Today.
“PM8 (PN-Muhyiddin Yassin) dan PM9 (BN-Ismail Sabri Yaakob) menyokong AHL (undang-undang anti-lompat parti).
“AHL adalah sebahagian daripada MoU (memorandum persefahaman) kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Azalina mempersoalkan niat mereka yang cuba mendiamkan perjuangan memberi suara kepada pengundi dan memulihkan politik yang baik di Malaysia melalui #HybridBill.
Semalam, peguam Muhammmad Rafique Rashid Ali dan Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar, berkata Azalina “melampaui batas” apabila bertemu gabenor Melaka untuk membincangkan rang undang-undang anti-lompat parti “hibrid”.
Mereka menasihatkan Azalina, yang merupakan penasihat khas kepada Ismail Sabri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia, agar memberi perhatian kepada mempercepatkan kelulusan undang-undang itu di peringkat Persekutuan.
Terdahulu, Gabenor Mohd Ali Rustam dalam satu kenyataan berkata Azalina yakin rang undang-undang hibrid peringkat negeri akan membantu pilihan raya Melaka untuk mengelakkan ketidakstabilan politik selepas pilihan raya, menggalakkan pengundi membuang undi dan mengembalikan keyakinan terhadap sistem demokrasi.
Rang undang-undang hibrid mempunyai dua matlamat utama, iaitu memecat wakil rakyat yang melompat parti dan membenarkan pengundi memanggil semula pilihan raya apabila wakil rakyat mereka lompat parti. – 4 November, 2021.