PRN awal di Sarawak bukti GPS takut Undi18, kata pembangkang
Iklan
PARTI pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengecam keputusan pakatan kerajaan negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS), meminta darurat ditamatkan awal supaya pilihan raya negeri (PRN) dapat diadakan.
Presiden PSB Wong Soon Koh mendakwa kerajaan GPS di bawah Ketua Menteri Abang Johari Openg tergesa-gesa mengadakan pilihan raya sebelum pelaksanaan Undi18 – pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun – layak mengundi pada 1 Januari tahun depan.
“Keputusan GPS ini semata-mata didorong kepentingan politik untuk cuba memenangi PRN sebelum pengundi baharu layak mengundi,” kata Wong, penyandang kerusi Bawang Assan.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman Abang Johari pagi ini yang DUN Sarawak terbubar secara rasmi pada 3 November, hari Yang di-Pertuan Agong mengumumkan perkenan penamatan darurat di negeri itu sebelum tarikh tamatnya pada 2 Februari tahun depan.
Ini membuka jalan untuk PRN diadakan dalam tempoh 60 hari, sebelum 3 Januari.
Abang Johari berkata beliau menasihatkan Yang di-Pertua Negeri Abdul Taib Mahmud supaya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat, yang diisytiharkan pada tarikh akhir darurat negara 2 Ogos untuk menangani wabak Covid-19 di negeri itu.
“Mereka mungkin berkata meluluskan undang-undang untuk membenarkan Undi18 mengundi tetapi realitinya mereka takut ketidakpastian yang datang dengan pengundi baharu,” kata Wong.
Beliau merujuk kepada rang undang-undang GPS yang dibentangkan di DUN pada November tahun lalu untuk meminda Perkara 16 Perlembagaan negeri bagi menurunkan umur minimum wakil rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.
Walaupun sembilan Adun pembangkang mengundi menentangnya, rang undang-undang itu diluluskan kerana GPS mempunyai majoriti dua pertiga dalam DUN 82 kerusi untuk menghalang keperluan mandatori sokongan dua pertiga.
Wong berkata tiada sebab lain yang munasabah untuk tergesa-gesa mengadakan pilihan raya sedangkan kapasiti penggunaan ICU Sarawak berada pada tahap 80%.
“GPS akan memberikan alasan mengarut yang sama bahawa penggal mereka telah tamat dan perlu menyerahkan kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu.
“(Maka mereka perlu) mengadakan pilihan raya apabila darurat tamat pada 2 Februari, yang pada masa itu mereka berumur 18 tahun akan layak mengundi.
“Mereka sangat takut dengan pengundi Undi18 sehingga terpaksa membuat petisyen menamatkan awal darurat supaya boleh mengundi sebelum 1 Januari 2022.”
Baru Bian, penyandang daripada PSB untuk Ba Kelalan, mengulangi hujah Wong dan menambah tiada siapa percaya dakwaan Abang Johari yang beliau tidak takut dengan undi Undi18.
Baru berkata Abang Johari perlu membuktikannya dengan menangguhkan pilihan raya sehingga tahun depan apabila angka Covid-19 lebih terurus.
“Saya percaya adalah tindakan tidak bijak di pihak mereka untuk meminta Agong menarik balik darurat. Saya berharap dan berdoa agar tiada rakyat Sarawak yang perlu membayar harga tinggi kerana kebodohan mereka,” tambah Baru.
Seorang lagi ahli politik, Voon Lee Shan yang kempen pilihan raya negerinya akan memberi tumpuan kepada kemerdekaan Sarawak, berkata jelas kerajaan GPS mengelak undi Undi18.
“Walaupun tidak jelas sama ada Undi18 akan menyokong atau menentang kerajaan GPS, tidak ada sebab untuk mengecualikan mereka dalam melaksanakan hak perlembagaan untuk mengundi,” kata presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) itu yang dijangka bertanding di kawasan lamanya, kerusi Batu Lintang. – 5 November, 2021.
Berita penuh di sini