Iklan

PKR Sarawak ingin cadang PRN diadakan 2 Januari

Desmond Davidson3 years ago5th Nov 2021Berita
Pkr election 141018 tmiseth 03
PKR Sarawak ingin mencadangkan kepada SPR agar PRN diadakan pada 2 Januari bagi membolehkan pengundi berusia 18 tahun untuk turut sama mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2021.
Iklan

PKR Sarawak akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan penamatan awal darurat di negeri itu dan merangka hala tuju mereka untuk pilihan raya yang akan datang, kata ketua penerangannya Abun Sui Anyit.

Dalam agenda mesyuarat secara maya itu ialah cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan hari pengundian pada 2 Januari ini, kata Abun kepada The Malaysian Insight.

“Itu satu-satunya tarikh yang paling sesuai supaya pengundi Undi18 boleh mengundi.”

SPR masih belum mengumumkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) Sarawak berikutan pemansuhan darurat pada 3 November. Dewan Undangan Negeri (DUN) juga secara automatik dibubarkan pada tarikh ini.

Sarawak mempunyai 60 hari, sehingga 3 Januari, untuk mengadakan pilihan raya bagi DUN yang mempunyai 82 kerusi itu.

Penggal DUN tamat pada Jun tetapi PRN digantung kerana darurat. Selepas darurat peringkat persekutuan tamat pada Ogos, darurat setempat Sarawak dilanjutkan sehingga 2 Februari.

Pemimpin pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil mengkritik keputusan penamatan awal darurat dan mengadakan PRN sebelum akhir tahun ini sebagai langkah mengelak Undi18 - pengundi baharu berumur 18 tahun ke atas yang layak mengundi pada 1 Januari.

Dalam pada itu, satu parti pembangkang kecil Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), bertindak pantas berbanding parti politik lain dengan mendedahkan manifestonya lebih awal.

Ia mempunyai tujuh janji pilihan raya, yang utamanya adalah untuk memansuhkan peruntukan dalam Kanun Tanah Sarawak yang menghapuskan hak anak negeri ke atas tanah adat mereka.

Parti berasaskan kaum Dayak itu juga berjanji, jika memenangi pilihan raya, ia akan menambah baik dan mempertingkatkan “fungsi ekonomi” masyarakat Dayak supaya mereka setanding “dengan komuniti paling maju yang lain”.

Manifesto yang dikeluarkan oleh setiausaha agung parti Julius Enchana petang ini menyatakan ia akan berusaha memelihara kebebasan beragama, memudahkan peluang pendidikan dan biasiswa kepada kaum Dayak, mempromosikan hak adil dan kesaksamaan untuk masyarakat Dayak dalam perkongsian kekayaan negara. – 5 November, 2021. 

Iklan
Iklan