Bantuan tunai jamin Melayu miskin sokong kerajaan, kata penganalisis
Iklan
WALAU mengekalkan populariti dengan meneruskan bantuan tunai kepada golongan Melayu yang membentuk majoriti golongan miskin, ia tidak menangani masalah kemiskinan, kata penganalisis.
Mereka berpendapat, usaha untuk mengangani miskin tegar dan relatif hanya dapat diselesaikan melalui pelan khusus seperti Wawasan Kemakmuran Bersama.
Penyelidik Ilham Center mengakui tambahan bantuan tunai bagi golongan miskin dalam Bajet 2022 memberi kelebihan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mereka berpendapat ia kesinambungan dari populariti bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang banyak menyalurkan bantuan ekoran pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Eksekutifnya Hisomuddin Bakar berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga menerima tempiasnya apabila meneruskan program pemberian wang tunai dalam Bajet 2022.
“Isu populariti ini memihak kepada kerajaan PN dan BN. Imej Muhyiddin dominan dan perkara itu diteruskan Ismail Sabri, sentimen sama,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight.
Hisomuddin berkata, sentimen itu diperhatikan Ilham Center dalam tinjauan di Melaka menjelang kempen pilihan raya negeri (PRN) yang bakal bermula pada 8 November.
Ia sekali gus menunjukkan pendapatan rakyat terjejas teruk disebabkan pandemik dan mereka benar-benar mengharapkan bantuan kerajaan bagi memulihkan ekonomi keluarga, katanya.
“Perkara ini bukan dikongsi Melayu sahaja, Cina pun sama. Ini fasa mereka kena bangkit, mereka terkesan dengan kemiskinan.
“Mereka perlukan nafas baru, sudah tentu kebergantungan lebih segmen pengundi Melayu kepada bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau mengulas angka yang menunjukkan komuniti Melayu membentuk lebih separuh daripada kumpulan rakyat miskin tegar di negara ini ekoran pandemik Covid-19.
Ia berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kadar miskin mutlak di Malaysia juga meningkat sebanyak 2.8% kepada 8.4% pada 2020 berbanding 5.6% pada 2019.
Menurut data itu, jumlah miskin tegar juga meningkat kepada 1% pada 2020 berbanding 0.4% pada tahun sebelumnya.
Laporan Sinar Premium yang memetik angka jabatan itu juga menyatakan, ia memberi jumlah seramai 262,888 ketua isi rumah (KIR) dalam kelompok miskin tegar setakat Oktober 2021.
Ia sebahagian dari 742,469 KIR dengan pendapatan bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), menurut laporan yang memetik angka Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut laporan itu, KIR Melayu merekodkan kadar miskin tegar paling tinggi dengan sejumlah 58.4%, manakala kaum India merekodkan 4.5% dan Cina 2.9% manakala lain-lain etnik 34.3%.
Mengulas angka tersebut, Hisomuddin berkata sebab itulah rakyat dan pengundi hari ini tidak lagi berpegang kepada janji kosong parti dan pemimpin politik semata-mata.
Mereka sebaliknya akan menilai apabila janji yang dibuat dapat ditunaikan, terutamanya melibatkan isu kemiskinan dan ekonomi rakyat, katanya.
“Mereka lihat dengan mata dan kepala mereka, nak bukti, cakap sahaja mereka tak nak. Kalau parti politik tunaikan janji itu akan datangkan kelebihan kepada mereka,” tambahnya.
Penganalisis Azizuddin Sani pula berpandangan, usaha membasmi miskin tegar dan relatif tidak mampu diselesaikan melalui Rancangan Malaysia dan belanjawan tahunan semata-mata.
Katanya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dicetuskan Pakatan Harapan paling realistik untuk menyelesaikan isu kemiskinan, kata pengkaji Universiti Utara Malaysia itu.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, ia hanya dapat diselesaikan dengan syarat kesemua cadangan berkaitan isu kemiskinan dalam pelan itu dapat dilaksanakan dengan betul.
“Kebanyakan orang Melayu terkesan, kalau segi ekonomi sejauh mana ia mampu bawa keluar dari kemiskinan tegar, ia banyak faktor, sosial, pendidikan.
“Jadi bantuan yang diumumkan beberapa ratus ringgit kepada kumpulan tertentu itu untuk jangka pendek untuk rancakkan ekonomi.
“Kalau nak jangka panjang kena ada strategi, kena efektif ke arah untuk bawa keluar daripada kemiskinan tegar dan kemiskinan relatif. (Ekoran pandemik) Covid-19 mereka jadi miskin bila tiada kerja.”
Tambah Azizuddin, kerajaan harus menumpukan usaha membuka peluang ekonomi baharu selain mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI).
Jelasnya, kerajaan perlu merancang sektor yang ingin dibangunkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan.
“Cuma Malaysia banyak bergantung kepada FDI, ia tak cukup untuk tampung rakyat Malaysia dapatkan peluang kerja yang setaraf dengan pendidikan mereka.
“Jurang antara miskin dengan kaya, makin melebar, jadi itu yang kerajaan kena rancang untuk Belanjawan 2022 termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Tambahnya, ia harus mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama untuk merapatkan jurang antara kaum.
Beliau juga mencadangkan kerajaan meneroka sektor ekonomi baharu seperti pertanian dan tidak bergantung semata-mata kepada hasil minyak
“Usaha selesaikan isu kemiskinan orang Melayu ini perlukan strategi efektif, bantuan tunai bagus untuk jangka masa pendek tetapi tidak kondusif untuk jangka masa panjang.
“Kita tak mahu orang Melayu akan terus bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya
Tambah Azizuddin, bantuan bersasar itu juga tidak harus berlanjutan setiap tahun bagi membolehkan negara berkembang dan mencapai status negara maju.
“Bila ekonomi dah rancak orang boleh bertahan, mereka boleh cari peluang ekonomi dan kerajaan boleh sediakan peluang, barulah boleh tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jadi negara maju.”
Tambahnya, jika kerajaan berjaya menyelesaikan isu ekonomi, mereka sudah pasti akan menjadi pilihan sokongan rakyat kerana ia saling berkaitan.
“Bila ekonomi OK, rakyat gembira, tidak ada isu masalah perpaduan… Itu ada rantaian antara kemakmuran ekonomi dan kemakmuran politik,” katanya.
Irwan Shah Zainal Abidin, penganalisis ekonomi UUM pula melihat isu kemiskinan sememangnya menjadi tumpuan kerajaan pimpinan Ismail Sabri hari ini.
Selain fokus khusus untuk membasmi kemiskinan, terdapat beberapa sektor seperti dasar agromakanan yang membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar secara tidak langsung.
“Isu kemiskinan memang isu pokok, dalam RMK-12, sembilan fokus utama dilibatkan isu kemiskinan dan isu berkaitan Bumiputera.
“Memang menjadi perhatian khusus dalam pentadbiran beliau, begitu juga dalam Belanjawan 2022, kita nampak fokus pertama mensejahterakan rakyat, banyak dilihat program yang menunjukkan usaha basmi kemiskinan.
“Bila saya baca pengenalan Dasar Agromakanan Negara 2.0 itu pun saya fikir akan beri impak kepada pengurangan kemiskinan, fokus pertanian akan membasmi kemiskinan,” katanya. – 8 November, 2021.