Bagaimana pertemuan dengan EU ancam maruah negara? soal Wan Azizah
Iklan
PRESIDEN Pakatan Harapan (PH) Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempersoalkan kenyataan Menteri Luar Negeri Anifah Aman berhubung pertemuan PH dengan sekumpulan duta Kesatuan Eropah (EU) yang didakwa sebagai mengancam maruah negara.
Dr Wan Azizah sebaliknya berkata, apa yang mencemarkan nama baik negara adalah apa yang terjadi kepada skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagaimana ia mengancam maruah Malaysia? Saya perlu tanya Kementerian Luar Negeri bagaimana pertemuan itu mengancam maruah Malaysia?,” soalnya lagi.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Semalam, Anifah menyelar pertemuan PH itu sebagai mengundang campur tangan asing.
Beliau berkata, ia menunjukkan pertemuan dengan duta itu merupakan langkah terdesak pakatan pembangkang yang mengancam kedaulatan negara.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Zin menjelaskan, ia merupakan amalan antarabangsa yang biasa dilakukan oleh negara lain termasuk Indonesia, Kemboja dan Filipina.
“Semua kawasan pilihan raya dalam negara ini dilihat oleh pemerhati bebas antarabangsa. Saya sendiri pernah ke Taiwan untuk memerhati pilihan raya mereka dijalankan. Ia sangat normal,” katanya.
Pada 26 Januari lalu, diplomat EU telah mengadakan pertemuan dengan PH yang diketuai pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, selain turut disertai beberapa pemimpin PH lain.
Menurut Mohamad Sabu, dalam pertemuan itu, PH memberitahu duta-duta negara Eropah tentang pentingnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijalankan secara bebas dan adil.
Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu, PH menggesa negara Eropah memohon kerajaan Malaysia membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU14.
Dalam pertemuan selama dua jam itu, EU disertai 14 duta dan tiga Kuasa Usaha Tetap di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez. – 29 Januari, 2018.