Khairuddin nafi kalah AJK PAS sebab gerakan jatuhkan Hadi
Iklan
MOHD Khairuddin Aman Razali menafikan beliau kalah mempertahankan kedudukan dalam barisan pimpinan tertinggi PAS kerana dakwaan cuba mendalangi gerakan menukar Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti.
Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata beliau akur dengan keputusan perwakilan dan mengganggap kalah menang sebagai adat pertandingan.
“Tidak ada kaitan, biasalah kalah menang… yang penting saya akan teruskan bekerja.
“Biasanya kalah dalam jemaah parti tak ada masalah,” katanya kepada media ketika ditemui di luar Muktamar Tahunan ke-67 di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini.
Selain Khairuddin, beberapa pemimpin yang dianggap lebih memihak pada kerjasama PAS dengan Umno juga kalah, antaranya Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Mereka yang dianggap dekat dengan Khairuddin juga terkena tempiasnya termasuk bekas pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan pendakwah Mokhtar Senik.
Kekalahan kumpulan pro-Umno yang digelar “Geng Ustaz” ini juga adalah kemuncak penolakan ahli dan perwakilan PAS di kawasan terhadap mereka, kata sumber parti kepada The Malaysian Insight.
Pemilihan AJK PAS Pusat bagi penggal 2021-2023 berlangsung semalam sementara keputusannya diumum hari ini oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan Nurkhuzaini Ab Rahman di Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu.
Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi dikaitkan dengan rakaman audio yang tular dengan suara miripnya mengkritik Abdul Hadi sebagai presiden PAS.
Dalam rakaman itu, Khairuddin yang juga popular dengan gelaran al-Takiri, antara lain didakwa membangkitkan kebimbangan mengenai pendirian Abdul Hadi dalam isu rundingan kerusi.
Sumber berkata penularan rakaman tersebut menyebabkan kumpulan Geng Ustaz kalah teruk kepada kumpulan pro-PN dalam setiap bahagian dan kawasan serta sayap yang dipertandingkan.
Semalam The Malaysian Insight melaporkan pertembungan antara kumpulan pro-Umno dan kelompok pro-Perikatan Nasional (PN) melatari persidangan muktamar PAS kali ini.
Mengulas mengenai rakaman audio tersebut, Khairuddin mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh musuh yang cuba mengambil kesempatan.
“Biasalah musuh ambil kesempatan Tapi kita dalam PAS tak akan hiraukan serangan musuh atau sebarang tohmahan,” katanya.
Sementara itu Nik Mohamad Abduh turut akur dan tidak berkecil hati dengan keputusan perwakilan PAS.
Malah beliau menganggap tidak memegang sebarang jawatan akan mengurangkan beban tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti sebelum ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada sahabat saya (yang menang). Saya rasa ia adalah satu beban besar yang telah saya lepaskan dan kini menjadi ringan.
“InsyaAllah, saya akan terus istiqamah membantu parti,” katanya. – 7 November, 2021.