Terserah kepada Allah, kata Idris Haron
Iklan
IDRIS Haron menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Idris tiba di pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Asahan di Kolej Komuniti Selandar, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, berbaju Melayu oren lengkap bersampin dan bersongkok.
Calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan juga tiba pada waktu sama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan calon diiringi penyokong dan pencadang untuk memasuki pusat penamaan.
“Terserah kepada Allah,” kata Idris, ketika ditanya harapannya terhadap pertandingan nanti.
Kedua-dua calon dikehendaki membuat daftar masuk di aplikasi My Sejahtera dan pengesanan suhu di pintu masuk kolej komuniti dan diberikan pas SPR sebelum dibenarkan memasuki dewan pencalonan.
Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan wakil daripada Gerakan Dhanesh Basil untuk kerusi DUN Asahan.
Dhanesh pula tiba kira-kira setengah jam kemudian dengan berbaju batik bersama penyokong dan pencadangnya.
Beliau berkata, walaupun berdepan Idris yang merupakan nama besar di Melaka, pihaknya akan cuba sehabis baik untuk menang di kerusi tersebut.
“Dari segi perlawanan di peringkat DUN memang kami akan bertembung tetapi dari segi perkenalan kami memang kenal antara satu sama lain.
“Perasaan itu memang lain daripada yang lain, saya sendiri tak tahu macam mana nak zahirkan, tetapi ya kita akan cuba sehabis baik, saya sangat yakin,” kata Dhanesh, kepada pemberita.
Idris bersama tiga lagi Adun Melaka sebelum ini menarik sokongan daripada menyokong Ketua Menteri Sulaiman Ali, yang menyaksikan berlakunya pembubaran DUN Melaka.
Mereka termasuklah Norhizam Hassan Baktee, Noor Effandi Ahmad, Nor Azman Hassan.
Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka bersama Nor Azman bertanding atas tiket PH dalam pertandingan kali ini.
Pencalonan Idris dan Nor Azman atas tiket PH sebelum ini dikritik sebahagian pemimpin PH, kerana menganggap mereka bersekongkol menumbangkan kerajaan PH Melaka, susulan Langkah Sheraton yang turut menyaksikan pertukaran kerajaan pusat.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagaimanapun mempertahankan keputusan PH menerima dua bekas Adun Umno Melaka itu sebagai calon gabungan dan menegaskan mereka bukan pengkhianat.
Anwar berkata Idris dan Nor Azman tidak mengkhianati sesiapa, tetapi menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri BN untuk kembalikan kerajaan negeri kepada PH.
SPR menetapkan 20 November depan sebagai hari pengundian dengan tempoh kempen ditetapkan selama 12 hari, bermula 8 November, hari ini.
Tiada sebarang kempen dibenarkan berlangsung oleh mana-mana parti yang bertanding, bagi mengelakkan berlaku penularan wabak Covid-19. – 8 November, 2021.