Enam calon bertanding di Asahan
Iklan
TIGA calon bebas menyertai pertandingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menjadikan lima calon semuanya akan bersaing bersama bekas ketua menteri Melaka Idris Haron, yang langkah politiknya membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula hari ini.
Idris, yang dipecat oleh Umno, bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) akan bersaing bersama calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan dan calon Perikatan Nasional (PN) Dhanesh Basil.
Tiga calon bebas yang disahkan pencalonan mereka ialah Azmar Ab Hamid; Mohd Akhir Ayob; dan Mohd Noor Salleh.
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN Asahan Luqmanulhakim Mohamad Idris memaklumkan tiada borang pencalonan yang ditolak.
Untuk rakyat Melaka
Dalam sidang medianya, Idris berkata, beliau bertanding dalam pilihan raya ini bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk rakyat Melaka keseluruhannya.
“Ini bukan soal masa hadapan Idris Haron, Idris Haron tak penting.
“Ini masa depan rakyat Asahan dan seluruh negeri Melaka… beri peluang kepada PH,” katanya, yang juga pernah jadi ahli Parlimen BN dua penggal antara 2004 dan 2013.
Beliau yang diumumkan ahli PKR minggu lalu adalah ketua menteri Melaka antara 2013 dan 2018.
PRN Melaka diadakan selepas Idris, bekas Adun Sungai Udang, menarik diri bersama tiga lagi Adun daripada menyokong kerajaan pimpinan Sulaiman Ali, ketua menteri Melaka BN.
Tiga Adun itu ialah Norhizam Hassan Baktee, Noor Effandi Ahmad, Nor Azman Hassan.
Dalam PRN kali ini, Idris dan Nor Azman bertanding di bawah tiket PH dan menimbulkan bantahan daripada beberapa pemimpin gabungan itu.
Nor Azman yang kini menjadi ahli Amanah bertanding di kawasan Pantai Kundor, kawasan yang dimenanginya atas tiket BN dalam pilihan raya umum lalu.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagaimanapun meredakan keadaan dan mempertahankan keputusan PH menerima dua bekas Adun Umno Melaka sebagai calon gabungan dan menegaskan mereka bukan pengkhianat.
Idris dan Nor Azman kata Anwar tidak mengkhianati sesiapa, tetapi telah menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri BN untuk kembalikan kerajaan negeri kepada PH
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, BN menang kerusi DUN Asahan dengan majoriti 275 undi, dengan calon Abdul Ghafar Atan yang memperolehi 5,942 undi.
Beliau menewaskan calon Bersatu Zamzuri Ariffin yang mendapat 5,667 undi dan calon PAS Azlan Maddin yang memperolehi 2,365 undi.
DUN Asahan mempunyai lebih 16,000 pengundi berdaftar. – 8 November, 2021.