Iklan

Kerajaan campuran pun boleh, kata Idris Haron, kalau tiada parti menang majoriti

Mohd Farhan Darwis3 years ago8th Nov 2021Berita
Malacca nomination  20211108 tmihasnoor -17
Calon PH bagi kerusi DUN Asahan, Idris Haron bersama penyokongnya selepas proses penamaan calon PRN Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 November, 2021.
Iklan

BEKAS ketua menteri Melaka Idris Haron terbuka dengan idea kerajaan campuran di Melaka sekiranya tiada mana-mana pihak berjaya memperolehi majoriti bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Idris yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan berkata, tiada mana-mana pihak mampu menghalang kerajaan baharu Melaka dibentuk selepas pilihan raya ini.

“Mungkin ia boleh berlaku, saya tak nampak siapa-siapa pun boleh menghalang daripada kerajaan terbentuk,” kata Idris, kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas selesai proses penamaan calon DUN Asahan di Kolej Komuniti Selandar, hari ini.

Idris bersaing dengan lima calon di kerusi DUN Asahan iaitu calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam  Roslan dan calon Perikatan Nasional (PN) Dhanesh Basil, serta tiga calon bebas.

Mereka yang bertanding atas tiket Bebas ialah Azmar Abd Hamid, Mohd Akhir Ayob, dan Mohd Noor Salleh.

Bekas ketua menteri Melaka Umno dari 2013 hingga 2018 itu berkata, pencalonannya atas tiket PH bukan atas kepentingan peribadi.

Malah bekas ahli Parlimen BN selama dua penggal antara 2004 hingga 2013 itu menegaskan tidak timbul isu berkaitan calon ketua menteri dari PH.

“Dalam kaedah pilihan raya ni kita tak letakkan sesiapa pun saya ke, Adly Zahari, atau siapa pun.

“Idris hari ini tak penting, yang penting adalah kita nak tawarkan benda lebih baik kepada rakyat Melaka.

“Ia perlu 15 (Adun) daripada kami, kalau seorang tidak menjadi, saya tidak kisah siapa pun (calon ketua menteri).

“Sekarang ini boleh berlaku apa sahaja, Idris dan Nor Azman tidak penting, yang penting rakyat Melaka ditawarkan kerajaan yang bersih,” kata Idris lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai hari pengundian dengan kempen 12 hari bermula hari ini.

Badan pengendali pilihan raya itu turut memaklumkan terdapat seramai 112 calon menawarkan diri bertanding di PRN Melaka kali ke-15 kali ini sebaik sahaja proses penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, PH, PN, dan BN bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka, Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) 5 kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) 1 kerusi.

Seramai 22 calon pula bertanding atas tiket Bebas.

Agensi pengendali pilihan raya itu juga memaklumkan terdapat 11 kawasan DUN mempunyai pertandingan tiga penjuru, sembilan DUN empat penjuru, lima kawasan DUN yang menyaksikan lima penjuru, dan tiga DUN mempunyai pertandingan enam penjuru. – 8 November, 2021.

Iklan
Iklan