Iklan

Mahkamah Tinggi Singapura tangguh hukuman mati Nagaenthran

Ragananthini Vethasalam3 years ago8th Nov 2021Berita
Nagaethran protest november 03, 2021 afif 05
Mahkamah Tinggi Singapura hari ini menangguhkan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam selepas peguamnya N Surendran memohon perintah larangan terhadap hukuman tersebut difailkan pada 2 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2021.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Singapura menangguhkan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia yang kurang upaya intelek, Nagaenthran K Dharmalingam, kata peguam N Surendran.

“Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran,” kata pengasas Lawyers for Liberty (LFL) itu melalui satu ciapan di Twitter.

Peguam telah memohon perintah larangan membatalkan hukuman mati Nagaenthran di Singapura dalam percubaan terakhir untuk selamatkannya daripada dihukum gantung, sebelum tarikh pelaksanaan yang ditetapkan iaitu pada 10 November.

Perintah itu difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura pada 2 November dan kes tersebut didengar pada 2.30 petang hari ini.

Nagaenthran diwakili di Singapura oleh peguam hak asasi manusia M. Ravi dari KK Cheng Law LLC, manakala Wong Woon Kwong mewakili Jabatan Peguam Negara, yang merupakan defendan dalam kes itu.

Ravi di Facebook turut berkongsi berita mengenai keputusan mahkamah tinggi untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

“Berita Baik: Mahkamah Tinggi baru sahaja arahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu pendengaran rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 2019, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan Nagaenthran terhadap hukuman matinya kerana membawa 42.72g heroin ke negara itu.

Beliau ditangkap pada April 2009 ketika memasuki republik itu dari Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan seikat heroin diikat pada pahanya.

Menurut Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, Putrajaya telah memohon budi bicara lembaga pengampunan Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Difahamkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengutuskan surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong bagi meringankan hukuman kes Nagaenthran.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis antihukuman mati, baik di dalam negeri mahupun di Singapura, telah menggesa supaya hukuman mati itu dibatalkan, memetik pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan melaksanakan hukuman mati terhadap orang yang kurang upaya mental.

Nagaenthran telah didiagnosis kecacatan intelek dengan IQ 69, iaitu IQ yang lebih rendah daripada purata kebiasaan. – 8 November, 2021.

Iklan
Iklan