Pakatan cadang gubal enakmen anti lompat parti jika menang Melaka
Iklan
PKR mahu Pakatan Harapan (PH) membentangkan enakmen antilompat parti sekiranya gabungan itu menang pilihan raya negeri Melaka dan berjaya jadi kerajaan semula, kata ketua penerangannya Shamsul Iskandar Md Akin.
Shamsul Iskandar berkata undang-undang itu adalah perkara pertama yang akan PKR cadangkan sebaik sahaja gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.
“Kalau saya dipilih sebagai Adun, InsyaAllah jadi kerajaan negeri, perkara pertama saya cadangkan untuk segera gubal undang-undang enakmen anti lompat parti.
“Di peringkat persekutuan kita akan ada (undang-undang antilompat parti) kerana itu janji kita dalam MoU, jadi peringkat persekutuan akan ada pindaan Perlembagaan dan sebagainya tahun depan,” katanya.
Beliau merujuk perjanjian persefahaman transformasi dan kestabilan politik antara pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH.
“Jadi kalau kita ambil kerajaan (Melaka) pada 20 November ini, mungkin sebulan lepas itu sidang DUN, kemudian belanjawan negeri, kita boleh usulkan enakmen ini.
“Awal tahun depan kita luluskan,” katanya, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Melaka, baru-baru ini.
MoU yang dimeterai 13 September turut menyenaraikan penggubalan sebuah undang-undang antilompat parti di Parlimen tidak lewat daripada mesyuarat pertama penggal ke-5, iaitu lazimnya pada Mac, tahun depan.
Shamsul, yang juga ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, turut bertanding di kawasan DUN Paya Rumput, yang menyaksikan persaingan lima penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Putra dan seorang calon bebas.
Bekas timbalan menteri industri utama dalam pentadbiran PH percaya enakmen antilompat parti mampu menjamin kestabilan kerajaan Melaka yang bakal dibentuk dan mengelakkan krisis politik berpanjangan.
“Saya percaya ini perkara munasabah yang praktikal dan boleh diusahakan di peringkat negeri,” kata Shamsul.
Untuk itu, beliau berharap pengundi Melaka akan memberi mandat kepada PH untuk kembali menerajui kerajaan negeri.
Kemenangan PH dengan majoriti selesa akan menjamin kerajaan yang stabil, katanya.
“Saya harap pengundi di luar sana akan beri kita sedikit kepercayaan. Kita tahu ini semua sejarah dan tentunya kita belajar sejarah pahit ini.
“Hendak ke depan dengan pasukan kompak untuk berikan khidmat kepada rakyat, saya merayu kepada pengundi berikan kita mandat yang selesa. Jangan bazirkan undi anda.
“Kalau yakin dengan PH, mereka (pengundi) boleh buat perbandingan 22 bulan PH jaga Melaka berbanding 19 bulan Sulaiman dan Umno… pasti mereka rasai,” katanya, merujuk bekas ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali.
Shamsul menambah pengundi juga mampu melihat kestabilan yang PH tampilkan berbanding gabungan kerajaan antara BN dan PN yang memerintah kerajaan pusat, hari ini.
“Jangan sia-siakan undi, setakat ini kita mampu, kita beri jaminan bersungguh-sungguh kerana apa, sebab PH dengan Amanah, terutama DAP dan PKR kita lama, komited agenda reform, perubahan kita nak buat takkanlah kita nak buat perkara yang akan binasakan masa depan dan perjuangan kita.
“Beri kita mandat itu, jangan sia-siakan undi. Kalau menang selesa, 17 atau 18 kerusi, kita boleh bertahan lima tahun akan datang.
“Kita nak kerajaan yang stabil, deliver untuk rakyat dan pastikan tiada insiden lompat parti,” kata Shamsul.
DUN Melaka dibubarkan selepas empat Adun, termasuk tiga exco kerajaan negeri, menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman.
Dua daripadanya, Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang juga bekas wakil rakyat Umno kini bertanding atas tiket PH, sementara seorang Norhizam Hassan Baktee bertanding sebagai calon bebas.
SPR menetapkan 20 November sebagai hari mengundi untuk menentukan wakil di 28 kawasan DUN Melaka. – 9 November, 2021.