Iklan

Kos tinggi ambil pekerja asing jadi beban, kata ketua industri

Khoo Gek San3 years ago10th Nov 2021Berita
49931319538 58408ee88f o
Bayaran untuk kuarantin dan ujian saringan telah menambah beban buat syarikat pengambil pekerja asing, yang kini dianggar menjadi dua kali ganda kosnya berbanding sebelum pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.
Iklan

KOS mengambil pekerja asing kini meningkat dua kali ganda selepas majikan diberitahu mereka perlu menjalani kuarantin dan bayaran saringan Covid-19, kata beberapa pemimpin industri.

Pemimpin sektor pembinaan, pengilang dan perabot memberitahu The Malaysian Insight walaupun Putrajaya memberi kelulusan mengambil pekerja asing, usaha mereka untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja yang teruk masih belum berakhir kerana kos yang tinggi.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Sufri Mohd Zin berkata anggaran kos untuk membawa masuk seorang pekerja asing adalah antara RM13,000 hingga RM14,000.

Kos ujian saringan dan kuarantin pekerja import selepas pandemik dianggarkan setinggi RM8,300, mengikut kiraan awal MBAM.

Bayaran tersebut termasuk untuk ujian PCR (polymerase chain reaction) pekerja yang diambil 72 jam sebelum berlepas, kos kuarantin lima hari sebelum berlepas dari negara asal, dua ujian PCR selepas tiba di Malaysia, kuarantin tujuh hari, serta kos pengangkutan, makanan dan penginapan yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Di samping itu, bayaran lain seperti cukai kepala pekerja asing, pemeriksaan perubatan, insurans sosial, insurans serta visa memerlukan tambahan RM5,000 lagi.

Sufri berkata kebanyakan pekerja asing dalam sektor pembinaan dari Indonesia dan Bangladesh, ada yang juga dari Myanmar, Vietnam, India, dan Pakistan.

“Masalahnya, selain prosedur operasi standard (SOP) dan kos, kerajaan masih belum buka sempadan kita untuk bawa masuk pekerja binaan baharu,” katanya.

Beliau menganggarkan terdapat kekurangan 500,000 pekerja asing dalam industri pembinaan.

Mengikut kiraan awal Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, kos ujian saringan dan kuarantin pekerja import selepas pandemik dianggarkan setinggi RM8,300. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.

Kekurangan itu terutamanya untuk mengisi kekosongan pekerja asing yang meninggalkan industri atau negara selepas permit mereka tamat semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dan juga untuk menggantikan pekerja tanpa izin yang hilang semasa PKP.

“Dianggarkan hampir 85% hingga 90% buruh dalam industri pembinaan adalah pekerja asing.

“Walaupun kerajaan dan pelbagai industri menggalakkan pengambilan pekerja tempatan, penduduk tempatan tidak berminat dengan industri pembinaan dan menganggap ia kotor, bahaya dan sukar (3D).

Beliau berkata seorang pekerja am pembinaan boleh memperoleh pendapatan kira-kira RM2,600 hingga RM3,500 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding gaji pokok yang diluluskan.

Bagi pekerja tanpa izin, beliau berkata walaupun kerajaan telah membenarkan mereka memohon pengesahan, majikan sukar untuk menghalalkan mereka kerana sangat sedikit yang diketahui tentang latar belakang mereka.

Tambah Sufri, masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai industri telah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya dan ia bergantung kepada kemahuan politik kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.

Tambahan RM5,000 upah warga asing industri pembuatan

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata kos kasar pengambilan pekerja asing adalah antara RM6,120 hingga RM8,400 sebelum penularan pandemik Covid-19.

Semasa tempoh selepas pandemik, pengilang perlu tanggung bayaran ujian saringan dan operasi tambahan yang diperlukan untuk “MySafeTravel” dalam talian apabila memohon kemasukan pekerja asing baharu.

Mengikut kira-kira FMM, perbelanjaan bagi setiap pekerja asing meningkat sebanyak RM5,000 lagi.

Soh berkata apabila Pelan Pemulihan Negara (PPN) memasuki fasa berbeza, industri mula beroperasi semula dan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Pengilang menghadapi kekurangan pekerja mahir dan tidak mahir, dianggarkan pengilang memerlukan 22,000 pekerja dengan segera, berdasarkan maklum balas daripada 252 syarikat, menurut tinjauan FMM baru-baru ini. 

Kekurangan tertinggi adalah dalam kategori pekerja am tidak mahir iaitu hampir 14,000, diikuti pekerja am mahir, juruteknik dan jurutera yang berjumlah lebih 7,000 pekerja.

Lima subsektor pembuatan teratas yang menghadapi kekurangan tenaga kerja merupakan sektor elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, kimia dan produk kimia, fabrikasi logam dan produk getah.

Sebanyak 3,500 syarikat pembuatan menjadi ahli FMM. 

Soh berkata sebagai ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, tinjauan baru-baru ini yang melibatkan 835 syarikat melaporkan kekurangan keseluruhan 77,721 pekerja, dengan sektor pembuatan memerlukan 77.1% daripada jumlah tenaga kerja yang diperlukan, diikuti sektor pembinaan (11.2). %) dan perkhidmatan lain (8.9%).

Data dikumpulkan daripada persatuan industri menunjukkan perladangan memerlukan 70,000 pekerja asing, sarung tangan getah (25,000), perabot (30,000), pembinaan (200,000), pembuatan (25,000), perkhidmatan (45,000) dan plastik (6,293).

Beliau menggesa Putrajaya bertindak demi nasib pengilang dengan menarik balik pembekuan pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam kategori pekerja am tidak mahir.

Ini akan menjadi langkah jangka pendek untuk membantu pemulihan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara, kata Soh.

Mengikut kira-kira Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, perbelanjaan bagi setiap pekerja asing dalam sektornya telah meningkat sebanyak RM5,000 semasa pasca pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2021.

Kos RM5,200 ambil pekerja baharu industri perabot

Setiausaha Majlis Perabot Malaysia (MFC) Matthew Law berkata industri perabot memerlukan 30,000 pekerja asing.

Beliau berkata perbelanjaan bagi setiap pekerja asing adalah kira-kira RM3,700, tidak termasuk bayaran vaksinasi dan kuarantin yang mungkin menambah RM1,500 lagi.

Beliau berkata kos memohon pekerja asing baharu akan melebihi RM5,200, yang merupakan beban kewangan besar kepada majikan.

Law berkata industri perabot tidak dapat mengambil pekerja asing sejak dua setengah tahun lalu.

“Pada Jun, disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), industri tidak dapat beroperasi selama lebih dua bulan. Tempahan pengilang tidak dapat dibuat. Kos penghantaran antarabangsa sangat tinggi.

“Pelanggan mengurangkan pembelian perabot mereka. Susulan kekurangan tenaga kerja yang teruk, industri perabot bergelut untuk terus bertahan,” kata Law.

Beliau menganggarkan setiap kilang perabot mempunyai kekurangan tenaga kerja sebanyak 20% hingga 30%.

MFC menggesa kerajaan melanjutkan tempoh penangguhan permit buruh asing.

“Lagipun, industri perabot adalah teknikal. Selepas pekerja asing mahir pulang ke negara asal, latihan semula pekerja asing baharu tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat.

“Industri perabot memerlukan pekerja mahir. Jika tidak, kami tidak akan dapat menerima tempahan baharu,” tambah Law. – 10 November, 2021.

Iklan
Iklan