PKR yakin agihan kerusi di Selangor muktamad sebelum Rabu
Iklan
PKR yakin rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan di Selangor dan juga di negeri lain yang bermasalah akan dapat dimuktamadkan sebelum Rabu.
Setiausaha agungnya Saifuddin Nasution berkata, rundingan itu sudahpun berjalan dan akan dimuktamad dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu sebelum 31 Januari.
“Saya percaya Selangor juga melalui proses yang sama. Buat masa ini masih lagi berlangsung perundingan. Di peringkat negeri belum lagi memerlukan penglibatan pimpinan pusat.
“Jadi saya yakin, optimis yang Selangor juga boleh kita selesaikan dalam tempoh masa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Sementara itu, timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali pula mengakui bahawa agihan kerusi tersebut agak rumit dan rundingan dengan pemimpin lain dalam PH masih belum dimuktamadkan.
“Sudah tentu proses ini agak rumit tetapi kita saya melihat perbincangan itu berjalan dengan cukup positif untuk menentukan kemenangan,” katanya.
Tambahnya, hanya beberapa kerusi sahaja lagi yang belum disahkan dan diluluskan oleh pemimpin parti dan menyifatkannya sebagai satu perkara biasa.
Menteri besar Selangor itu turut menolak khabar angin bahawa rundingan di kalangan pemimpin parti dalam PH itu menemui jalan buntu.
Tegasnya, rundingan itu telahpun berjalan dan setiap parti maklum dengan tuntutan setiap parti lain.
“Sebab kita tahu berapa permintaan Amanah, berapa permintaan Bersatu, berapa permintaan Keadilan (PKR).
“Kalau kita tak ada perbincangan, mana mungkin kita tahu di mana mereka berminat untuk bertanding?” kata Azmin lagi ketika ditemui di majlis pelancaran “Skim Peduli Sihat” di Shah Alam hari ini.
Tegasnya lagi, bagi PKR, parti itu sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
“Kalau kita jangka yang PRU14 akan diadakan pada April, saya berani cakap yang kita sudah bersedia, dari segi calon dan kawasan dan juga persedian untuk pilihan raya,” katanya lagi.
Rundingan kerusi PH di Selangor menjadi isu memandangkan hanya PKR yang bertegas bahawa rundingan berkenaan sudahpun berjalan.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pada hari Jumaat lalu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Amanah bahawa PH masih belum membentuk jawatankuasa untuk rundingan berkenaan.
Katanya, empat perbincangan telah dilakukan oleh jawatankuasa pilihan raya PH yang diketuai Dr Xavier Jeyakumar.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pula berkata beliau tidak tahu menahu mengenai rundingan tersebut. – 29 Januari, 2018