Iklan

Hartal Doktor Kontrak tetap teruskan mogok

Ragananthini Vethasalam3 years ago9th Nov 2021Berita
Hartal july 26, 2021 afif 01
Kumpulan Hartal Doktor Kontrak tetap mahu meneruskan edisi kedua mogok di seluruh negara walaupun KKM mengumumkan lebih 4,000 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.
Iklan

KUMPULAN Hartal Doktor Kontrak tetap mahu meneruskan edisi kedua mogok di seluruh negara walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan lebih 4,000 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap.

Kumpulan itu sudah beberapa kali menuntut jawatan tetap dan layanan adil terhadap semua pegawai perubatan kontrak.

Hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat sejak 2016 ditawarkan jawatan tetap menyebabkan selebihnya berdepan kesukaran dengan masa depan yang tidak menentu.

Jurucakap kumpulan Dr Mustapha Kamal A.Aziz memberitahu The Malaysian Insight tiada perkara baharu dengan tawaran berkenaan.

“Tiada apa-apa…tidak ada yang baharu,” katanya ringkas.

Beliau berkata kumpulan itu tidak akan mengubah pendirian mereka untuk terus melaksanakan mogok itu.

“Kami akan teruskan,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata kerajaan akan menyerap 4,186 kakitangan perubatan kontrak ke dalam perkhidmatan tetap tetapi kumpulan Hartal Doktor Kontrak mahu semua pekerja kontrak diserap ke jawatan tetap.

Mereka juga mahukan penjelasan mengenai kriteria pelantikan jawatan tetap dan tawaran secara hitam putih.

“Jabatan Perkhidmatan Awam sedia menerima 4,186 pegawai perubatan sebagai kakitangan tetap daripada 10,583 yang sudah tamat kontrak perkhidmatan mereka,” katanya kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab menteri hari ini.

Beliau berkata jumlah ini akan terdiri daripada 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Beliau menambah langkah itu akan menelan belanja RM377.5 juta.

Edisi kedua mogok itu dijadualkan berlangsung pada Disember. Ia dibuat selepas petugas kesihatan tidak berpuas hati dengan janji yang dibuat di bawah Bajet 2022.

Mustapha memberitahu The Malaysian Insight pada 2 November bahawa petugas kesihatan berasa semakin diketepikan.

“Kami merasakan dilayan seperti barang pakai buang,” katanya.

Ramai daripada mereka terkejut apabila didedahkan semasa pembentangan Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat bahawa hanya 10,000 petugas kesihatan akan dipertimbangkan untuk lanjutan kontrak.

Kerajaan mencadangkan lanjutan dua tahun kepada kontrak dua tahun 10,000 doktor perubatan kontrak, doktor gigi dan ahli farmasi.

Tetapi bukan penyelesaian jangka panjang yang diminta oleh doktor daripada kerajaan.

Namun KKM adalah antara penerima terbesar dana bajet di landasan yang betul untuk menerima sejumlah RM32.4 bilion.

Pada 26 Julai, beratus-ratus petugas kesihatan di hospital kerajaan di seluruh negara melancarkan gerakan keluar untuk membantah sistem kontrak.

Kumpulan Hartal sebelum ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan menuntut jawatan tetap bagi semua jawatan tetap pegawai perubatan kontrak dan kriteria rasmi pelantikan itu. – 9 November, 2021.

Iklan
Iklan