Iklan

Ramli beri amaran lapor SPRM jika projek jalan raya buruk

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Nov 2021Berita
Pahang ramli mohd nor cameron highlands 20190121 tmihasnoor 007   full
Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor hari ini menempelak kontraktor yang tidak membina jalan raya yang bagus sehingga cepat rosak, berkata beliau akan lapor perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor hari ini memberi amaran untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika projek jalan raya di kawasannya tidak dilakukan dengan baik.

“Untuk makluman, mulai sekarang saya akan periksa sendiri setiap projek jalan raya di Cameron Highlands yang menelan belanja berjuta-juta,” katanya semasa perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya tidak ugut tetapi saya akan lapor kepada SPRM. Tolong sampaikan apa yang rakyat mahu. Jangan ambil bahagian,” katanya.

Tambahnya masyarakat Orang Asli telah menyampaikan kebimbangan mereka terhadap projek jalan raya di kampung mereka.

“Bagaimana jalan ke kampung itu bagus sedangkan tar dicurahkan ke atas tanah. Mana batu kelikir yang sepatutnya di bawah tar?” katanya semasa melakonkan semula perbualan dalam bahasa Orang Asli.

“Dulu orang Asli tidak kisah tentang perkara ini, selagi ada jalan raya. Tetapi tidak ada gunanya jika kita berbelanja berjuta-juta di jalan yang buruk dan hanya boleh bertahan selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata kualiti projek itu mestilah cemerlang kerana berjuta-juta telah habis dibelanjakan.

Ramli turut menyeru penjawat awam memastikan dasar dilaksanakan mengikut perancangan.

“Saya sarankan penjawat awam pastikan semua dasar yang dibuat oleh tuan politik anda, iaitu menteri dan timbalan menteri, berjalan mengikut perancangan.

“Janganlah ada Napoleon kecil yang atur kontraktor mereka sendiri. Anda tidak boleh buat begitu. Tolong, anda adalah sistem penyampai. Tidak ada gunanya jika berjuta-juta dibelanjakan dan sasaran tidak tercapai,” katanya, menambah perkara ini sudah pun berlaku.

Ramli turut mencadangkan satu badan baharu ditubuhkan khusus untuk meneliti hal ehwal ekonomi Orang Asli, bagi meminimumkan birokrasi tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk semua urusan. Ini juga akan memudahkan proses membuat keputusan yang lebih pantas, katanya.

“Kerajaan sila ambil perhatian, sudah 64 tahun (sejak Merdeka) tetapi kita masih ketinggalan. Kami cuma ada 200,000 orang sahaja. Mengapa kerajaan masih lambat?” soalnya.

Mengenai pendidikan, beliau mencadangkan Jakoa menubuhkan unit pengangkutan bagi membantu kanak-kanak Orang Asli ke sekolah.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terdapat pelajar Orang Asli yang tidak bersekolah manakala ada yang tercicir.

“Ada banyak faktor yang menyebabkan masalah ini. Antaranya rumah mereka yang berada di luar bandar, kekurangan kemudahan sekolah, kemiskinan tegar, ibu bapa tidak pedulikan pendidikan anak dan agensi tidak jaga persekolahan murid Orang Asli,” katanya. – 11 November, 2021.

Iklan
Iklan