Iklan

Pihak berkuasa ganggu mesyuarat Pakatan di Melaka, dakwa Fahmi

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Nov 2021Berita
W-0408-pkr lapor
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pegawai polis dan KKM terjah masuk ke dalam bilik dan mengambil gambar mesyuarat PH di Hotel La Crista. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) bengang apabila pegawai polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengganggu mesyuarat majlis presiden semalam berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pegawai terbabit masuk ke dalam bilik tanpa sebarang amaran dan mengambil gambar mesyuarat itu.

Beliau berkata pemimpin PH terkejut apabila polis dan pegawai KKM membuka pintu bilik mesyuarat di Hotel La Crista untuk memeriksa mesyuarat berkenaan dan adakah ia mematuhi SOP atau tidak.

“Beberapa pegawai terbabit yang difahamkan dari KKM dan polis menerjah masuk dan mengambil gambar kami yang sedang bermesyuarat,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Fahmi berkata pemimpin PH, Saifuddin Nasution, Lim Guan Eng dan Salahuddin Ayub yang mewakili parti masing-masing di Jawatankuasa Khas untuk Pengurusan Pandemik Covid-19, memaklumkan kepada pegawai berkenaan mesyuarat itu tidak melanggar SOP.

“Saya tidak pasti adakah perkara seperti ini berlaku pada mesyuarat Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Adakah KKM dan polis berani terjah masuk mesyuarat mereka untuk ambil gambar?,” soalnya.

“Bagi saya ini adalah sejenis intimidasi, yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau mempersoalkan kenapa ada parti yang menjadi sasaran dan tertakluk kepada SOP lebih ketat berbanding parti lain.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November dengan SOP Covid-19 yang ketat dan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini berkata kempen fizikal yang dibenarkan hanya ucapan menerusi pembesar suara dalam kenderaan bergerak pada masa ditetapkan dan dengan permit polis.

Semua perhimpunan fizikal dilarang. Ini bermakna tiada program ceramah, kempen pintu ke pintu atau walkabout.

Calon dan parti mereka dibenarkan membuka hanya satu pusat operasi bagi setiap kerusi.

Mereka yang melanggar peraturan itu tetakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – 11 November, 2021.

Iklan
Iklan