Iklan

Tamatkan monopoli DNB dalam pelancaran 5G, kata Fahmi

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Nov 2021Berita
49928599473 0105fb7e89 o
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa membatalkan monopoli DNB dalam pelancaran 5G kerana ada banyak isu yang membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.
Iklan

AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menamatkan monopoli Digital Nasional Bhd (DNB) dalam pelancaran rangkaian 5G di negara ini.

Beliau menyeru Annuar terlibat dengan lebih mendalam dengan para pemain industri mengenai isu ini.

“Saya mohon menteri (Annuar) bincang dengan Menteri Kewangan untuk batalkan monopoli DNB supaya kita boleh (lancarkan 5G) sama seperti yang dilaksana sebelum ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam Reuters melaporkan tiada satu pun syarikat telekomunikasi di Malaysia bersetuju untuk guna rangkaian 5G kerajaan ini berikutan isu ketelusan dan harga. 

Ia terjadi ketika kerajaan bersedia untuk melancarkan rangkaian itu di tiga kawasan bandar bulan depan.

DNB juga mengesahkan kepada media antarabangsa tersebut tiada persetujuan daat dicapai dengan mana-mana syarikat telekomunikasi di Malaysia, mengakui garis masa awal untuk rundingan sebagai terlalu optimistik. DNB berada di bawah Kementerian Kewangan, ditubuhkan khas bagi melancarkan rangkaian 5G. 

Sebelum ini kementerian itu berkata DNB akan membiayai pelancaran tersebut yang dikatakan menelan belanja sekitar RM11 bilion melalui pembiayaan pasaran. Ini juga membawa maksud yang DNB bukan penerima dana kerajaan.

Fahmi berkata sangat membimbangkan apabila DNB dilantik sebagai pengendali perkhidmatan borong tunggal 5G selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak membenarkan syarikat-syarikat telekomunikasi membida.

Tambahnya, jika bukan kerana “penindasan buatan” terhadap syarikat komunikasi supaya bergantung kepada DNB, mungkin rangkaian 5G sudah tersedia di Malaysia. 

Fahmi kemudiannya membangkitkan isu liabiliti yang perlu ditanggung sehingga mungkin rakyat alami kelewatan untuk menerima rangkaian 5G jika DNB gagal membayar hutangnya selain jika pelancaran itu tidak berjalan seperti dirancang.

Tambahnya, walaupun tidak pasti bila perjanjian untuk spektrum dengan syarikat telekomunikasi akan jadi kenyataan, kos pusingan DNB tetap berjalan.

Beliau turut menggesa kerajaan jelaskan di Dewan Rakyat mengenai individu atau pihak mana yang ada kepentingan dan mendapat manfaat dalam DNB.

Sementara itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata kerajaan dan SKMM sebagai badan kawal selia juga tidak menangani isu penetapan harga borong.

“Kami gesa kerajaan teliti impak jangka panjang. Mungkin kita tidak nampak kesan masalah ini sekarang. Kita parah ini menjadi barah sehingga menjejaskan faedah ekonomi dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – 11 November, 2021.

Iklan
Iklan