Orang muda jangan bazirkan hidup jadi ahli politik, kata menteri
Iklan
MENTERI Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata beliau tidak percaya kepada meletakkan calon terlalu muda pada pilihan raya, dan pesanannya kepada calon muda:”Jangan bazirkan hidup anda dengan jadi ahli politik.”
“Jika anda fikir mahu jadi calon, fikir sekali lagi,” katanya ketika ditanya pandangannya berkenaan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.
Merujuk kepada calon termuda di PRN Melaka yang sedang berlangsung – Farzana Hayani Nasir, 21, bertanding atas tiket PKR – naib presiden Parti Pesaka Bersatu (PBB) itu berkata beliau tertanya-tanya bagaimana kehidupan Farzana jika beliau berjaya menang PRN itu.
Farzana, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bertanding di DUN Sungai Rambai.
“Saya bukan tidak suka dia, tetapi apalah jenis kehidupan akan dijalaninya (jika menang). Belajar universiti pun tidak habis lagi.
“Kahwin pun belum. Baru 21 tahun dan sudah bertanding jadi wakil rakyat.
“Tamat belajarlah dulu. Lepas habis belajar, kahwin, besarkan keluarga dan bina kehidupan anda dulu.”
Karim berkata individu yang masih belum melalui liku kehidupan “akan hilang semuanya” jika mereka berjaya dipilih dalam pilihan raya.
“Saya selalu percaya umur terbaik untuk jadi calon ialah 39, 40 atau 41,” katanya.
Beliau berkata pada umur itu, individu berkenaan sudah matang dan ada pengalaman hidup untuk menjadi calon yang baik. – 11 November, 2021.