Iklan

Teresa persoal sama ada kerajaan akan haramkan alkohol lain guna nama seakan Islam

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Nov 2021Berita
Teresa kok tmikamal 03
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempersoalkan sama ada kerajaan akan mengharamkan import jenama alkohol dengan nama serupa dengan nama Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2021.
Iklan

TERESA Kok hari ini mempersoalkan sama ada Putrajaya akan mengharamkan import jenama alkohol dengan nama yang serupa dengan nama Islam.

Malah katanya terdapat 20 produk sedemikian dalam pasaran.

“Kita tahu terdapat sekurang-kurangnya 20 jenama alkohol yang mempunyai nama serupa dengan nama Islam di pasaran,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

“Adakah semua produk ini akan diharamkan dari diimport ke Malaysia?,” soalnya sambil berkata tindakan sedemkian bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Beliau berkata adalah tidak adil lesen pembuatan Winepak Corporation (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan wiski Timah tidak diperbaharui selepas ia tamat bulan lepas.

“Adakah ini adil? Kita tahu Timah bukanlah nama orang Islam sebaliknya merujuk kepada sejenis logam (timah) dalam Bahasa Malaysia.

“Mengapa ia dijadikan isu sehingga kerajaan menekan syarikat itu untuk menukar nama produk berkenaan?,” soalnya. 

Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu berkata kegagalan memperbaharui lesen akan menjejaskan imej negara dan hubungan sektor kerajaan -swasta yang memburuk. 

Ia juga akan mewujudkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur asing yang mungkin tertanya-tanya sama ada mereka akan berdepan isu yang sama atas sebab “tidak masuk akal”, tambahnya.

Beliau menggesa kerajaan untuk bersikap adil dan mengkaji semula keputusan yang “tidak mesra” terhadap komuniti perniagaan.

Mengenai peraturan penjualan arak yang berkuatkuasa di Kuala Lumpur pada 1 November Kok berkata ini satu larangan kepada orang bukan Islam.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kasim berkata cadangan untuk menyekat penjualan arak dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Arak dan bukannya beliau sendiri.

“Saya ingin mencadangkan kepada menteri untuk memecat semua ahli lembaga pengarah kerana membuat keputusan yang tidak masuk akal…mereka gagal memahami industri alkohol dan membuat keputusan kontroversi yang merosakkan nama menteri serta slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan,” kata Kok.

Persatuan Peniaga Arak Bersekutu sentiasa mematuhi garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tambahnya.

Walaupun ahli Parlimen KL bukan Islam menghormati hak rakan sejawatan Islam mereka, beliau berkata kepercayaan tidak boleh dipaksa.

“Apa yang haram bagi orang Islam tidak boleh dipaksa kepada orang bukan Islam terutamanya dalam aspek pengambilan makanan dan minuman,” katanya sambil menambah hak itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perniagaan arak dikendalikan oleh bukan Islam dan jualan mereka merupakan sumber pendapatan penting bagi penjual, tambahnya.

Jualan minuman keras kini diharamkan di kedai serbaneka dan kedai runcit serta dewan perubatan Cina.

Bar, pub, lounge dan restoran dengan lesen untuk menjual alkohol akan dibenarkan menghidangkan minuman keras hanya antara jam 10 pagi dan tengah malam. Permohonan lanjutan masa boleh dibuat tetapi hanya sehingga jam 2 pagi. – 11 November, 2021.

Iklan
Iklan