BN arah kempen tidak serang PAS, kata Mohamad Ali
Iklan
JURUCAKAP dan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diarahkan untuk tidak menyerang PAS dalam kempen mereka, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad.
Ali yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata mereka masih meletakkan harapan PAS akan bersama Umno untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang walaupun PAS memilih bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.
Katanya, Umno menganggap PRN Melaka hanyalah percubaan PAS untuk tidak bersama parti itu.
“Mungkin ini akan beri petunjuk kepada PAS… Mungkin masa depan Umno dan PAS boleh bekerjasama demi masa depan umat Melayu dan Islam.
“Saya masih lagi berpegang dengan prinsip Umno sentiasa buka pintu kepada PAS walaupun apa yang berlaku di pilihan raya Melaka,” katanya, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Sungai Udang, Melaka baru-baru ini.
Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14 untuk bersama dalam isu penyatuan Melayu dan Islam, selepas kerajaan BN pada waktu itu tumbang.
Selepas percaturan politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan BN, PAS dan Bersatu menubuhkan parti gabungan PN, bersama dua parti Sabah dan kemudian disertai Gerakan.
PAS bukan musuh
Menurut Ali, BN tidak akan menganggap PAS sebagai musuh mereka walaupun parti Islam itu memilih untuk bersama Bersatu.
“Kita tak letakkan PAS sebagai musuh, dan daripada rakan Umno yang bertanding atau jurucakap memang kita tak halakan serangan kepada PAS,” katanya.
Timbalan yang di-Pertua Dewan Negara itu bagaimanapun berkata BN boleh menambah lebih banyak kerusi dalam PRN Melaka sekiranya PAS bersama mereka.
“Kalau bersama PAS mudah kita memenangi (lebih banyak kerusi) tapi kita Umno dan BN dah sedia bertanding secara solo, kalau dengan PAS mungkin boleh dapat 23 kerusi, lebih mudah,” katanya.
Ini kerana pihaknya menganggap perpecahan antara kedua-dua parti hanya akan menyebabkan perpecahan lebih besar kepada komuniti Melayu, Islam.
“Kalau ada perpecahan antara Umno dan PAS dalam menangani keadaan berlaku hari ini akibat politik, kita tak mahu akibat Umno dan PAS (bertelagah) ada dari sudut di Melaka kita tak bersama dalam PRN akan beri kesan besar kepada umat Islam, bangsa Melayu dalam negara.
“Kita dalam Muafakat Nasional, Umno terutamanya kita kekalkan usaha kita untuk berikan satu kerjasama yang baik antara parti Melayu Islam terutamanya di negara kita di samping dengan parti yang mesra dengan Islam.
“Saya yakin apa yang terjadi ini merupakan satu pendekatan yang kita kira walaupun agak berbeza dan tak sama tapi Umno Melaka tetap buka pintu untuk PAS bekerjasama,” katanya.
PAS bertanding di lapan kerusi DUN Melaka dalam PRN ke-15 kali ini dengan menggunakan logo PN.
PAS bertembung dengan Umno di enam kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Serkam, dan Merlimau, dalam pertembungan tiga penjuru disertai Amanah mewakili PH.
PAS juga berlawan dengan calon Umno dan DAP di Duyong, dan bertanding menentang calon MCA dan PKR di Klebang.
Cermin PRU15
Sementara itu, Ali berpendapat keputusan PRN Melaka adalah cerminan penanda aras untuk PRU15 akan datang buat BN.
“PRN Melaka saya lihat ia boleh jadi penanda aras kepada BN di seluruh negara kerana dengan komposisi kaum di Melaka ada Melayu, Cina, India, ini memberikan gambaran jika BN boleh menang cemerlang di Melaka ini merupakan penanda aras untuk BN menang PRU15 nanti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan terdapat seramai 112 calon menawarkan diri bertanding di PRN Melaka kali ini.
PH, PN, dan BN bertanding di semua 28 kerusi manakala dua parti kecil, Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) 5 kerusi da Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) 1 kerusi.
Seramai 22 calon pula bertanding atas tiket Bebas.
Agensi pengendali pilihan raya itu juga memaklumkan terdapat 11 kawasan DUN mempunyai pertandingan tiga penjuru, sembilan DUN empat penjuru, lima kawasan DUN yang menyaksikan lima penjuru, dan tiga DUN mempunyai pertandingan enam penjuru. – 12 November, 2021.