BN sasar menang lebih 20 kerusi DUN Melaka
Iklan
BARISAN Nasional (BN) mahu menang 21 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 kali ini, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad.
Calon BN di kawasan DUN Sungai Udang yakin parti itu boleh menang di kerusi marginal, iaitu yang mempunyai kurang majoriti 1,000 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau menjangkakan mereka yang dulu mengundi Bersatu akan beralih sokongan mereka kepada PAS yang kini berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Jika itu berlaku, Ali berpendapat BN berpeluang menang di kerusi yang mempunyai majoriti di bawah 1,000 undi.
“Dalam pilihan raya kali ini kita masih berlawan kelima-lima parti (seperti PRU14) cuma Bersatu tidak lagi dalam PH tetapi bersama PAS… undi mereka tetap sama.
“Malah Umno, BN berlawan dengan parti sama kita masih dapat 13 kerusi, dengan harapan jika kawasan undi (majoriti) bawah 1,000 PH ketika itu, dengan Bersatu tidak lagi berada di dalam PH, undi mereka diberi kepada PAS bakal menyebabkan undi PH berkurang.
“Kalau orang Bersatu dapat bawa 500 ke 600 undi beralih kepada PAS, undi BN tetap sama,” katanya kepada The Malaysian Insight, dalam wawancara di Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini
“Jadi kalau pengundi Bersatu tak beri (undi) kepada PH, dengan undi yang kita dapat (pada PRU14), BN mampu ambil semula (kawasan DUN) daripada PH.
“Saya yakin Umno dan BN akan menang kerusi tersebut,” katanya.
Terdapat sembilan kerusi yang penyandangnya menang dengan majoriti di bawah 1,000 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Enam daripada kerusi tersebut dimenangi BN iaitu Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Rim dan Merlimau.
PH pula menang tiga kerusi lagi dengan Amanah memenangi Durian Tunggal, PKR memenangi Klebang, dan DAP memenangi Gadek.
Beliau yang juga timbalan yang di-Pertua Dewan Negara berkata BN berupaya menambah bilangan kerusi mereka disebabkan kelemahan pentadbiran PH di Melaka selama 22 bulan sebelum ini.
“Malah dalam keadaan PH memerintah dengan keadaan janji palsu yang diberikan PH, dengan permasalahan dilakukan PH, dengan fitnah PH, saya yakin mereka yang di atas pagar dahulu mengundi PH akan beralih kepada BN,” katanya.
Beliau juga yakin BN mampu menang di empat kerusi Adun yang menarik sokongan daripada menyokong ketua menteri Sulaiman Md Ali.
Empat kerusi itu ialah Sungai Udang, Pantai Kundor, Pengkalan Batu, dan Telok Mas.
BN bertembung dengan PN dan PH di kesemua 28 kerusi, dengan pertandingan di 17 kerusi turut disertai 22 calon bebas.
PRN Melaka turut disertai dua parti kecil iaitu Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) yang bertanding satu kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Ibrahim Ali bertanding lima kerusi. – 12 November, 2021.