Iklan

Manifesto BN lantik 5 Adun Melaka boleh disalah guna, kata pemerhati politik

Ragananthini Vethasalam3 years ago14th Nov 2021Berita
Malacca bn manifesto 20211110 tmihasnoor -05
Manifesto BN untuk PRN Melaka mencadangkan pelantikan 5 Adun tambahan yang dianggap pemerhati politik membuka peluang salah guna untuk kelangsungan politik pemerintah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2021.
Iklan

MANIFESTO Barisan Nasional untuk meminda Perlembagaan Negeri Melaka bagi membenarkan pelantikan lima Adun dari organisasi masyarakat sivil dan belia mungkin idea kepelbagaian yang baik, tetapi ia boleh disalah guna jika tidak dilaksanakan dengan betul, kata pemerhati.

Parti pemerintah boleh menggunakannya sebagai kelebihan dengan menamakan individu yang menyokong kerajaan semasa, kata peguam dan penganalisis politik.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu The Malaysian Insight yang sebarang pindaan kepada perlembagaan negeri boleh dilakukan jika menerima sokongan dua pertiga majoriti ahli dewan.

“Ia kemudiannya jadi (perkara) berpelembagaan dan sah secara undang-undang, tetapi adakah ia demokratik atau bermoral, itu persoalan yang berbeza,” katanya.

Sabah mempunyai mekanisma sama dicadangkan untuk Melaka, apabila perlembagaan negeri membenarkan penamaan sehingga Adun dilantik tetapi tidak dipilih undi ke dalam dewan undangan negeri, tetapi Haniff mempersoalkan samada ia benar-benar memenuhi matlamat ia dilakukan.

Wujud kebimbangan berasas selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lepas yang ketua menteri baharu dilantik Hajiji Noor dari Bersatu akan menyalahguna mekanisma itu untuk melantik Adun dari sekutu Gabungan Rakyat Sabah, termasuklah Perikatan Nasional.

Kesannya, buat pertama kali dalam sejarah Sabah, parti Islam PAS mampu menyandang kerusi DUN tanpa bertanding pilihan raya, apabila Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan dilantik sebagai Adun.

Pemerhati politik merasakan wujud ketidakyakinan untuk menang besar dalam manifesto Barisan Nasional pada PRN Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

Haniff berkata walaupun mekanisma itu adalah sah secara undang-undang menurut perlembagaan negeri, ia tidak selari dengan prinsip demokratik, yang wakil rakyat hanya dipilih oleh rakyat.

“Apa akan berlaku jika kerajaan semasa berjaya meminda perlembagaan untuk melakukannya, seperti yang dilakukan mereka untuk melantik orang ke dalam jawatan penting GLC dan pihak berkuasa lain, anda akan menemui orang dari kem (politik) sendiri dilantik menggunakan alasan NGO atau kumpulan belia.

“Ini bukan demokrasi,” tambahnya.

Katanya lagi cadangan untuk menambah kerusi DUN perlu dibawa kepada pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya dan pertandingan perlu diadakan untuk kerusi tambahan tersebut.

“Perlantikan hanya akan membuka ruang seterusnya, dengan alasan demokrasi, untuk menyalahguna kuasa majoriti. Ini salah,” katanya.

Haniff berkata lebih baik calon daripada organisasi sivil dan belia bertanding pilihan raya.

“Jika mereka mahukan perwakilan lebih luas (pelbagai), mengapa tidak Barisan Nasional meletakkan lebih ramai calon NGO dan belia. Itu persoalan yang mereka perlu jawab sejujur dan seikhlasnya,” katanya.

Penganalisis politik Dr Awang Azman Awang pula menyamakan cadangan pindaan itu sebagai bermain senjata tajam.

“Jika digunakan dengan bijaksana, ia boleh memberikan kestabilan kepada kerajaan negeri Melaka dalam bentuk kekukuhan kerajaan.

“Bagaimanapun, jika pindaan itu disalah guna, ia akan membawa kepada salah guna kuasa tanpa proses semak imbang sewajarnya.

“Ini juga boleh menyebabkan manipulasi politik apabila pihak yang hilang 16 kerusi masih boleh membentuk kerajaan dengan lima pelantikan. Disebabkan itu, prosedur ini perlu dikaji dengan teliti supaya ia tidak disalah guna,” kata pensyarah dari Universiti Malaya itu.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November depan selepas kerajaan negeri tumbang kerana tindakan berpaling tadah wakil dipilih rakyat.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun berkata kerajaan semasa akan cenderung melantik calon Adun yang rapat dengan mereka.

“Ini akan meningkatkan majoriti pakatan pemerintah.

“Secara prinsipinya, saya tidak membantah pelantikan tambahan ini, tetapi saya rasa jumlah itu keterlaluan. Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 73 kerusi (Adun) dipilih dan enam ahli tambahan (dilantik).

“Melaka dengan 28 (kerusi) mahu melantik lima Adun tambahan….saya rasa ia keterlaluan. Saya fikir paling banyak cukup tiga sahaja.”

Walaupun BN boleh mendakwa mekanisma ini akan memastikan kestabilan politik, Oh berkata tidak ada jaminan wujud kerana Adun dilantik masih boleh berpaling kesetiaan kepada parti lain.

Ini berlaku kepada kerajaan negeri Sabah diterajui Warisan yang menyebabkan pilihan raya mengejut diadakan tahun lepas, kata Oh.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula merasakan cadangan mekanisma tersebut oleh BN bermatlamat mengukuhkan kedudukannya di Melaka, sekiranya ia hanya menang nipis dalam pilihan raya.

“Ini juga boleh ditafsirkan sebagai BN tidak yakin akan menang besar dalam pilihan raya negeri dan ia memerlukan Adun tambahan bagi mengukuhkan kerajaan negeri Melaka,” kata pengkaji itu.

“Nampaknya seperti BN meletakkan survival politik mereka lebih utama daripada kebajikan rakyat.”

Cadangan itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan ketika pelancaran manifesto PRN Melaka minggu ini.

Katanya, BN akan meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan lima Adun tambahan mewakili organisasi masyarakat sivil dan belia dalam rancangannya memastikan wujudnya kestabilan politik di negeri itu, jika menang pilihan raya. – 14 November, 2021.

Iklan
Iklan