Iklan

Penganjur program PM di Asahan dikompaun RM20,000

Mohd Farhan Darwis3 years ago14th Nov 2021Berita
Malacca election ismail sabri 20211114 tmihasnoor -02
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan lawatan sehari ke Melaka, ketika kempen pilihan raya negeri genap seminggu menjelang hari pengundian 20 November ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2021.
Iklan

PENGANJUR program Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Asahan, Melaka hari ini dikenakan kompaun tidak lama selepas majlis berakhir tengah hari tadi.

The Malaysian Insight difahamkan kompaun berjumlah RM20,000 dikenakan kerana penganjur gagal mematuhi syarat penjarakan sosial dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19.

Kompaun dikeluarkan kepada ketua pusat daerah mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) Asahan, kata pegawai kesihatan dari Pusat Kesihatan Daerah Jasin yang enggan namanya dipetik.

Penganjur program yang dikenakan kompaun juga enggan memberikan sebarang komen.

Ismail Sabri hari ini mengadakan lawatan sehari ke Melaka, ketika kempen pilihan raya negeri genap seminggu menjelang hari pengundian 20 November ini.

Ini adalah kunjungan pertama Ismail Sabri ke Melaka sejak kempen pilihan raya negeri bermula selepas penamaan calon 8 November.

Minggu lalu, Ismail Sabri mengadakan lawatan tiga hari ke Jakarta atas jemputan Presiden Indonesia Joko Widodo. Lawatan bermula sehari selepas penamaan calon PRN Melaka.

Sebelum kompaun dikeluarkan, Ismail Sabri beramah mesra dengan pengundi di kawasan Medan Selera Selandar, disertai bekas perdana menteri Najib Razak.

Pegawai kesihatan dari Pusat Kesihatan Daerah Jasin mengeluarkan kompaun kepada penganjut program Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Asahan, Melaka hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2021.

Lebih kurang 60 individu berada di kawasan medan selera itu ketika program berlangsung, dengan sebahagian daripada mereka yang hadir mengambil peluang bergambar bersama perdana menteri.

Kompaun itu dikeluarkan sejurus selepas Ismail Sabri meninggalkan kawasan medan selera kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Menurut jadual lawatannya, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno mempunyai program bersama jentera dan pengundi di kawasan DUN Telok Mas, Sungai Udang, Lendu, Asahan, dan Rim.

Kerusi DUN Asahan menyaksikan pertandingan enam penjuru, dengan bekas ketua Menteri Melaka Idris Haron yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) berentap menentang calon BN Fairul Nizam Roslan dan calon Perikatan Nasional (PN) Dhanesh Basil.

Tiga calon lagi akan bertanding atas tiket Bebas iaitu Azmar Ab Hamid; Mohd Akhir Ayob; dan Mohd Noor Salleh. – 14 November, 2021.   

Iklan
Iklan