Iklan

Pemenang anugerah ingin guna aplikasi pengembara di lapangan terbang

Ragananthini Vethasalam3 years ago14th Nov 2021Berita
Traveller app
Pasukan pencipta aplikasi Traveller (dari kiri) Amjad Ali Alhaneesh, Faisal Ariff, Sherman Peter dan Nik Emir Rizan Sulaiman. – Gambar eBorderPass, 14 November 2021.
Iklan

INDIVIDU di sebalik “Traveller App” yang memenangi Anugerah Kemakmuran Digital Apec 2021 mengharapkan lampu hijau kerajaan untuk mengautomasikan laluan imigresen ke negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di lapangan terbang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Faisal Ariff yang mengetuai pasukan yang membangunkan aplikasi itu berkata mereka sudah bersedia tetapi memerlukan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kami sudah bersedia, tetapi kami memerlukan Miti (yang mengendalikan urusan Apec) dan KDN (yang mengendalikan urusan Imigresen) untuk memberi kami lampu hijau,” kata bekas pengurus dana yang kini menjadi usahawan kepada The Malaysian Insight.

“Peluang menarik untuk kami ialah mengautomasikan lorong imigresen Apec, dengan menggabungkan aplikasi dengan kerja autogate kami.

“Laluan imigresen Apec masih manual di lapangan terbang wilayah Apec. Apec sendiri mengakui laluannya perlu diautomasikan dalam laporan 2014, dan kami ingin melakukannya,” tambahnya.

Pada 9 November, pasukan itu diisytiharkan sebagai pemenang anugerah tahunan oleh Menteri Luar Negeri New Zealand Nanaia Mahuta pada Mesyuarat Peringkat Menteri Apec.

Semasa mengumumkan pemenang, Mahuta berkata pasukan yang menang membincangkan tema Apec tahun ini bagi “mempersiapkan orang ramai untuk bergerak semula”.

 “Pasukan itu mengutamakan transformasi digital industri pelancongan melalui penggunaan teknologi pintar dan alatan digital, dengan matlamat untuk meningkatkan perjalanan yang selamat dan lancar bagi memenuhi permintaan pelawat,” kata Mahuta.

Diketuai oleh Faisal, pasukan itu terdiri daripada Amjad Ali Alhaneesh, Sherman Peter dan Nik Emir Rizan Sulaiman.

Aplikasi ini direka untuk memudahkan perjalanan ketika pandemik Covid-19.

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati mendapat pengiktirafan itu. Ini anugerah pertama kami daripada badan kerajaan dan kami diberitahu ia agak berprestij,” kata Faisal mengenai kemenangan itu.

“Namun, apa yang lebih penting bagi kami ialah dapat melaksanakan kerja kami dan menggunakannya dengan baik di lapangan terbang untuk pelancong antarabangsa dan pengembara perniagaan untuk melepasi imigresen dengan cepat dan selamat.

“Ekonomi kita benar-benar memerlukan ini untuk pemulihan pasca-pandemik kerana pelancongan adalah 15% daripada KDNK kita,” tambahnya.

Oleh itu, pasukannya berharap MITI dan KDN memberi mereka peluang mengautomasikan lorong Apec untuk pelancong dan pengembara perniagaan serta menyedari ini boleh menjadi peluang yang lebih luas bagi Malaysia untuk membina perkhidmatan serantau.

“Perkhidmatan ini perlu bersambung dengan sistem imigresen domestik bukan sahaja Malaysia tetapi ekonomi Apec lain - ia agak berbeza daripada rombakan sistem imigresen domestik yang sedang berjalan sekarang. Mari kita lihat apa yang berlaku,” katanya. – 14 November, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan