Perlu lebih banyak perbincangan isu judi Kedah, kata Azmin
Iklan
KERAJAAN negeri Kedah perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan berkaitan itu larangan judi di negeri itu, kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, perbincangan itu perlu dilakukan demi menghormati kepelbagaian komuniti di dalam negara ini.
“Itu keputusan kerajaan negeri namun sudah pasti saya berpendapat kita mahu kekalkan suasana harmoni di Malaysia termasuk Kedah kerana masyarakat kita pelbagai kaum.
“Tetapi, dengan keputusan pihak berkuasa dan kerajaan negeri itu, saya ingin lihat lebih banyak perbincangan dengan pelbagai pihak dan pelbagai komuniti, jadi kita mempunyai lebih banyak kefahaman dan saling hormat-menghormati dalam suasana pelbagai kaum,” kata Azmin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli kariah surau di Serkam, Melaka.
Semua kedai nombor ekor tidak akan dibenarkan beroperasi di Kedah bermula tahun depan, kata menteri besarnya Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai usaha membendung aktiviti perjudian di negeri itu.
Sanusi dipetik media berkata susulan itu pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan.
Langkah sama turut dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, yang juga di bawah pentadbiran PAS.
Kerajaan negeri juga katanya memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua daerah, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.
Majlis Syura Ulama PAS turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Sanusi.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menuntut penjelasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan para menteri MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sama ada pengharaman tersebut adalah dasar baharu Keluarga Malaysia.
Lim berkata keputusan itu mungkin dibuat untuk membantu calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya Melaka.
Beliau juga berkata PAS sepatutnya berbincang dengan MCA, MIC dan masyarakat Cina untuk faham tentang kerugian yang akan ditanggung akibat keputusan mengejut itu. – 15 November, 2021.