NGO gerak usaha bantu anak yatim akibat Covid-19
Iklan
WANITA kehilangan pasangan dan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat Covid-19 mendapat tumpuan satu badan tindakan Pasukan Penyokong Krisis Kanak-Kanak (CCST).
Pengasasnya, PH Wong memberitahu The Malaysian Insight, usaha yang digerakkan 40 NGO, aktivis dan sukarelawan sejak Julai lepas bermula dengan talian khas untuk mengenal pasti kanak-kanak terbabit.
“Kita diminta untuk tubuhkan pasukan CCST Covid-19 ini sebagai bentuk sokongan bukan saja kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa kerana Covid-10, atau kehilangan ibu atau bapa.
“Bantuan adalah menyeluruh tidak terhad kepada bantuan kewangan, tapi dari segi undang-undang dan emosi juga,” kata pengarah Projek Childline Malaysia itu.
Selain itu, sokongan bantuan juga diberikan kepada kanak-kanak yang tinggal di rumah sendirian kerana ibu bapa yang perlu kuarantin di hospital.
“Kanak-kanak bersendirian di rumah dan ada yang terpaksa ikut ibu bapa mereka di hospital atau pusat kuarantin biarpun mereka bukan positif Covid-19.
“Jika mengharapkan doktor atau petugas kesihatan tolong juga sukar kerana mereka terbeban dengan tugas sedia ada.
“Bagi kanak-kanak di rumah kita akan lihat sama mereka ada jiran atau waris keluarga untuk kita kenal pasti bentuk bantuan diperlukan kanak-kanak itu,” katanya.
Tambahnya, pasukan itu juga akan menghantar bantuan bekalan makanan kepada kanak-kanak terbabit.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), setakat Ogos lalu kira-kira 4,422 murid sekolah kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik.
Berikutan itu, RM25 juta diumumkan dalam Bajet 2022 untuk Yayasan Keluarga Malaysia bagi usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak tersebut.
Mengulas usaha itu, Wong berkata pendedahan KPM melegakan kerana selama ini mereka bekerja tanpa mengetahui data yang tepat berhubung perkara itu.
Malah mereka juga sebelum ini sukar mengenal pasti kanak-kanak malang tersebut kerana kekurangan data.
“Sebelum ini kita memang susah untuk mencari kanak-kanak ini sebab pihak hospital pula etikanya tidak boleh mendedahkan maklumat.
“Pekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (pula) terbeban dengan tugas sedia ada.
“Sebab itu kita bangun talian hotline jadi ia memudahkan kami untuk kenal pasti kanak-kanak yang memerlukan bantuan,” katanya.
Tambahnya lagi, pasukan CCST tidak hanya menumpukan kepada kanak-kanak yatim piatu namun turut memberi bantuan sokongan kepada wanita yang kehilangan pasangan kerana Covid-19 dan perlu menjaga anak.
Beliau berkata sangat penting golongan itu diberi sokongan dari segi emosi supaya insiden bunuh diri akibat tekanan perasaan dapat dielakkan.
Katanya, pasukan CCST telah menguruskan 12 kes membabitkan kes kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa sejak ia ditubuhkan.
Pada masa sama beliau turut mengharapkan jalinan kerjasama bersama kerajaan untuk membenarkan melantik NGO sebagai pembantu pelindung kanak-kanak.
Beliau berkata buat masa ini hanya pelindung kanak-kanak yang dilantik JKM saja dibenarkan mengurus perlindungan setempat bagi golongan tersebut.
“Bagi kami inilah penyelesaian jangka masa panjang yang patut dilakukan kerajaan. Kerana pegawai pelindungan yang sedia ada sekarang juga tidak terkejar tugas mereka. Terlalu banyak kes.
“Dan mereka juga perlu tumpukan kepada isu pengabaian dan penderaan yang juga meningkat sejak pandemik.
“Jadi kita cadang kepada kerajaan untuk pembantu pelindung untuk setiap daerah, mereka boleh mengambil kes yang tidak berat sangat,” katanya.
Lebih 29,600 maut akibat Covid-19 di Malaysia setakat ini. – 16 November, 2021.