Iklan

Adun Umno Terengganu bimbang kesan PRN Melaka

Diyana Ibrahim3 years ago16th Nov 2021Berita
Nawi Mohammad
Adun BN Nawi Mohammad bimbang insiden perseteruan lama antara penyokong Umno dan PAS akan berulang. – Gambar The Malaysian Insight, 16 November, 2021.
Iklan

PERPADUAN Melayu-Islam di Terengganu akan turut menerima kesan apabila PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Nawi Mohammad.

Adun Hulu Besut bimbang insiden perseteruan lama antara penyokong Umno dan PAS seperti sembahyang dua imam, yang pernah berlaku pada dekad 1980-an, akan berulang.

“Akan balik (jadi) semula, akan berlaku semula, percayalah, tunggu masa saja,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2022 di Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

Jelas beliau ketegangan hubungan PAS dan Umno di Terengganu sebelum ini sudah dilembutkan apabila dua parti itu membentuk kerjasama melalui Muafakat Nasional, yang dimeterai September 2019.

Nawi mendakwa PAS secara terang mengkhianati orang muda dan memberi contoh tidak baik apabila sebelum ini mengajak Umno bersama atas nama perpaduan Melayu dan Islam tetapi sekarang menolak hubungan tersebut.

Perbahasan Nawi dicelah Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh-PAS) yang menyifatkan dakwaan Adun BN itu mengelirukan kerana menuduh kononnya PAS yang inginkan orang Melayu berpecah di Terengganu.

Katanya, hubungan antara PAS dan Umno sememangnya sudah tegang tetapi pentadbiran PAS “berlapang dada” memberi peruntukan kepada wakil rakyat BN.

Malah Hishamuddin bertanya siapa yang sebenarnya mengkhianati siapa sehingga terbubarnya DUN Melaka.

Sementara itu bekas menteri besar Ahmad Said (Kemaman-BN) turut mencelah dan mengingatkan perkara tersebut tidak perlu diungkit kerana PAS juga pernah khianat semasa kerajaan negeri tumbang melalui undi tidak percaya pada 1961.

“Tak perlulah nak ungkit siapa khianat siapa. Kalau nak ungkit Terengganu pun pernah ada juga (insiden khianat) melalui undi tidak percaya PAS ketika itu pada 1961,” katanya. – 16 November 2021
 

Iklan
Iklan