Iklan

Najib tandatangani dokumen sebelum lembaga pengarah 1MDB, kata bekas pengarah

Hailey Chung Wee Kye3 years ago17th Nov 2021Berita
50018076822 41ef68e998 b (1)
Najib Razak berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2021.
Iklan

TANDATANGAN Najib Razak sudah pun ada pada dokumen walaupun sebelum lembaga pengarah (BOD) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menandatangani, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail berkata BOD akan menandatangani dokumen penting tanpa teragak-agak selepas mereka melihat Najib menandatanganinya.

Najib yang ketika itu menjadi perdana menteri merupakan pengerusi lembaga penasihat (CBOA) kepada 1MDB dan pemegang saham tunggal syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

“Hampir semua Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) yang memerlukan kelulusan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Hak Tebus Khas (SRR) sudah ditandatangani Najib terlebih dahulu, sebelum saya menandatangani DCR.

“Seingat saya, ada juga beberapa DCR yang saya tandatangani merujuk kepada Resolusi Biasa dan dokumen SRR yang ditandatangani Najib tanpa tarikh.

“Kami tidak akan mempersoalkan keputusan Najib sebagai CBOA kepada 1MDB. Oleh itu saya tidak teragak-agak untuk menandatangani DRC apabila saya melihat Najib sudah menandatangani SRR,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

Mahkamah mendengar bahawa adalah proses biasa dalam 1MDB, DCR diedarkan kepada BOD apabila terdapat perkara yang memerlukan keputusan cepat tanpa mesyuarat BOD.

Ismee berkata kebanyakan keputusan yang dibuat melalui DRC melibatkan proses pelaburan, pelantikan, keselamatan negara dan perkara lain yang memerlukan kelulusan BOD.

BOD menandatangani DRC untuk bersetuju dengan permohonan berkenaan sebelum ia diambil untuk kelulusan pemegang saham melalui Resolusi Biasa dan SRR. 

Beliau berkata tandatangan Najib bermakna permohonan itu sudah diluluskan oleh pihak tertinggi dalam 1MDB.

“BOD hanya akan menandatangani DRC untuk melengkapkan proses walaupun ini adalah pembalikan proses sebenar.

“Jika Najib sudah menandatangani, kami tidak akan banyak bertanya dan terus sahaja menandatanganinya,” kata Ismee.

Beliau menambah DRC biasanya akan diserahkan kepadanya sama ada oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB Vincent Beng Huat Koh atau peguam bela 1MDB Jasmin Loo Ai Swan.

“Pandangan saya jika DRC ini dibawa kepada saya oleh individu daripada pengurusan, maka ia sudah dalam pengetahuan dan kawalan Najib.

“Dan saya secara peribadi tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki sebarang niat salah atau bertindak sebaliknya,” kata Ismee.

Sebelum ini bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman memberikan keterangan sama di mana beliau menyaksikan tandatangan Najib pada resolusi pemegang saham sebelum DRC syarikat itu dibentangkan.

Najib, 68, berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah. – 17 November, 2021.

Iklan
Iklan