Terengganu masih runding dengan Putrajaya tuntut hutang bina LPT2, kata Samsuri
Iklan
TERENGGANU masih berunding dengan Putrajaya untuk menagih hutang RM1.43 bilion melibatkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Rundingan dibuat selepas Kementerian Kewangan melalui sepucuk surat tidak mengiktiraf baki hutang kerajaan pusat kepada kerajaan negeri, katanya.
Jelas Samsuri, pihaknya difahamkan Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju untuk meluluskan bayaran balik kepada kerajaan negeri dalam bentuk bukan kewangan.
“Fakta ini (surat Kementerian Kewangan) tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri di mana berdasarkan tanggung jawab kerajaan pusat dalam senarai Persekutuan Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri berpandangan masih ada urusan yang belum selesai dari segi hutang atau tanggungan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Apa yang berlaku sekarang kerajaan negeri dalam proses rundingan bagi menjelaskan baki bayaran Dana Khas Kerajaan Pusat dengan Kementerian Kewangan dan insyaAllah kita komited untuk terus berusaha bagi pastikan baki itu diperolehi oleh kerajaan negeri,” katanya di Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.
Samsuri menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura Wan Hapandi Wan Nik dari PAS.
Hapandi meminta menteri besar menjelaskan status satu surat terkini yang ditandatangani seorang individu yang beranggapan kerajaan persekutuan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan kerajaan negeri sehingga tahun 2021.
Hapandi dan Samsuri tidak menyebut butiran lanjut mengenai surat itu daripada siapa dan bila.
Pada Julai 2019, Samsuri berkata, Terengganu membiayai jumlah sebenar RM1.85 bilion untuk membina LPT2 manakala jumlah yang telah disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga Jun 2019 berjumlah RM418.5 juta.
LPT2 sepanjang 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Gemuroh, Kuala Nerus siap dibina pada 2014 melibatkan peruntukan keseluruhan RM4.25 bilion.
Kerajaan Terengganu semasa pemerintahan Barisan Nasional telah menggunakan wang negeri sebanyak RM1.82 bilion bagi menyegerakan pembinaan LPT2. – 17 November, 2021.