Samsuri dedah lagi butir rundingan kerjasama PRN Melaka yang gagal
Iklan
UMNO, PAS dan Bersatu sebenarnya telah hampir bersetuju untuk berkerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun Umno kemudiannya menarik diri dan menggagalkan rancangan tersebut, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Naib Presiden PAS mendedahkan dengan lebih terperinci butiran rundingan tiga parti Melayu itu, yang sebelum ini disebut sepintas lalu oleh beberapa pimpinan kanan PAS yang lain.
“Saya sendiri terlibat secara langsung perbincangan untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam PRN Melaka berjaya menemui jalan penyelesaian setelah pertemuan tiga parti berjaya.
“Saya kena sebut bahawa pertemuan ini mendapat mandat ketua parti masing-masing.
“Ia diadakan pada Rabu 27 Oktober dan kali kedua Jumaat 29 Oktober di mana beberapa persetujuan telah dicapai, dan cadangan pre-election agreement dirangka untuk kerjasama berlaku di Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya di Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.
Rundingan yang disertai timbalan presiden dan setiausaha agung tiga parti Melayu itu bagaimanapun gagal pada 3 November, lima hari sebelum penamaan calon PRN Melaka, tambahnya.
“Pun begitu, langit tidak selalu cerah. Rabu 3 November, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan bahawa ada seorang ketua parti (Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi) yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu tiga penjuru,” katanya, semasa berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2022 Terengganu.
Jelasnya, biarpun kecewa tetapi tiada apa yang boleh PAS lakukan kerana sikap Umno yang mahu mendominasi mengganggu kerjasama mereka.
Menurut Ahmad Samsuri beliau menyentuh soal kerjasama politik kepartian kerana perkara itu dibangkitkan oleh wakil rakyat yang berbahas mengenai belanjawan negeri dan ia juga berkait dengan kepentingan rakyat Terengganu yang inginkan keharmonian dalam masyarakat.
“Ianya juga berkait dengan kelancaran jentera pentadbiran dan kaedah penyampaian yang lebih efektif sekiranya kerjasama wujud di tahap optimum… kerana apa jua yang berlaku di peringkat Persekutuan, adalah juga berkait dengan kita di Terengganu,” katanya.
Semalam wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Nawi Mohammad mendakwa perpaduan Melayu-Islam di Terengganu akan turut menerima kesan apabila PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.
Adun Hulu Besut bimbang insiden perseteruan lama antara penyokong Umno dan PAS seperti sembahyang dua imam, yang pernah berlaku pada dekad 1980-an, akan berulang. – 17 November, 2021.