PRN Melaka bakal tentukan strategi BN hadapi PRU15, kata MCA
Iklan
LANGKAH Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan Sabtu ini, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.
Chong berkata jika BN menang besar pada PRN Melaka, gabungan empat parti itu akan bertanding PRU15 tanpa perlu membentuk kerjasama dnegan parti politik lain, termasuk keperluan kerjasama dengan parti Melayu lain bagi meraih undi.
Bagaimanapun, kemenangan untuk Pakatan Harapan (PH) di negeri itu mungkin akan memaksa BN yang dipimpin Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS pada PRU15 bagi memastikan undi Melayu tidak terpecah, katanya.
“Situasi politik di Melaka akan memberi kesan kepada seluruh negara dan menentukan sama ada PRU15 akan diadakan tidak lama lagi atau ditangguhkan,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.
Chong berkata Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka menerusi Bersatu, PAS dan Gerakan, akan menyebabkan undi Melayu terpecah di mana Umno turut bertanding.
Bagaimanapun katanya, MCA tidak terlalu bimbang dengan cabaran dibawa calon PN di kerusi di mana parti itu bertanding.
“PN tidak ada kesan di kawasan di mana MCA bertanding. Perlawanan utama kami dengan Gerakan tetapi Umno akan terkesan dengan Bersatu dan PAS.
“Kita juga tahu kebanyakan ahli Bersatu sebelum ini daripada Umno. Walaupun PAS mungkin tidak menang kerusi, ia masih boleh menjejaskan sokongan terhadap Umno.”
Chong berkata kekalahan Bersatu di peringkat negeri mungkin akan mendorong sebahagian bekas ahli Umno untuk “kembali”.
Beliau berkata jika jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi rendah, pengundi Cina tidak seramai yang dijangkakan, ia bakal menyukarkan MCA untuk menang.
Di Melaka, PN bertanding di semua 28 kerusi DUN. Bersatu bertanding di 15 kerusi, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).
Sebanyak 11 daripada kerusi itu, PN akan bertanding melawan PH dan BN.
Umno adalah sebahagian sekutu Bersatu dan PAS di peringkat persekutuan tetapi mereka saling berlawan di PRN Melaka. PAS memilih bekerjasama dengan Bersatu walaupun berada dalam pakatan Muafakat Nasional bersama Umno.
Chong berkata dalam perlawanan satu lawan satu, di mana BN hanya berdepan dengan hanya PH, lebih mudah untuk melihat bagaimana pengundi Melayu, Cina dan India mengundi.
“Sekarang ada tiga parti Melayu, kita tidak pasti bagaimana undi itu akan terpecah,” katanya.
“Selagi setiap parti ada sokongan akar umbi yang kuat, mereka akan berjaya lepas. Tetapi dalam perlawanan tiga penjuru ini, jika undi setiap parti dekat-dekat, ia mungkin menyebabkan sesetengah parti kalah.
“Ini sebabnya penting untuk Umno kukuhkan sokongan akar umbi.” – 18 November, 2021.
Berita penuh di sini.